Surat ditulis Putera Charles kepada sahabat baiknya, Laurens
Surat ditulis Putera Charles kepada
sahabat baiknya, Laurens Post pada
1986. – SUMBER MAIL ONLINE

Beliau juga menggesa Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan ke atas golongan tersebut tetapi dikritik hebat.

Mail Online melaporkan, perkara tersebut dinyatakan oleh Charles dalam surat yang ditulis kepada rakan baiknya, Laurens Post pada 24 November 1986.

Surat itu ditulis selepas be­liau bersama Puteri Diana melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi, Bahrain dan Qatar.

Dalam surat berkenaan, beliau menyatakan kemunculan golongan Yahudi warga Eropah di Asia Barat secara tidak langsung menyebabkan ‘masalah besar’ di rantau tersebut.

Jelasnya, keganasan di Asia Barat hanya dapat ditamatkan jika punca sebenar dihapuskan.

Charles kemudian melahirkan harapan supaya Presiden AS bertindak tegas terhadap ‘pelobi Yahudi’ di negara tersebut.

Istilah ‘lobi Yahudi’ dianggap sebagai anti-Semitik iaitu merujuk kepada golongan Yahudi yang memiliki kemewahan di AS dan beroperasi secara belakang tabir untuk mempengaruhi dasar-da­sar kerajaan negara itu.

Dalam pada itu, editor majalah The Jewish Chronicle, Stephen Pollard menyifatkan pendedahan surat berkenaan amat mengejutkan.

“Pada saya, surat yang dtulis oleh Charles adalah satu perkara yang menakjubkan. ‘Lobi Yahudi’ adalah satu terma anti-Semitik yang sudah digunakan sejak ber­abad lama dan adalah mitos untuk mengatakan golongan Yahudi yang kaya mempunyai kuasa untuk mengawal polisi luar atau media di sesebuah negara,” katanya.

Selain itu, Charles turut dilihat sebagai seorang yang memperta­hankan Islam dan disifatkan sebagai tokoh dari Barat yang dihormati dalam dunia Islam.

Dalam surat tersebut, Charles memberitahu beliau mencuba mem­baca al-Quran dan memberinya penjelasan bagaimana orang Arab berfikir serta pandangan mereka tentang Israel.