Timbalan Presiden (Jabatan Haiwan) Zoo Atlanta, Hayley Murphy berkata, orang utan yang diberi nama Chantek itu sebelum ini mendapat rawatan sakit jantung dan bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian haiwan tersebut.

“Chantek akan dirindui oleh semua pihak di zoo ini. Ia merupakan seekor haiwan yang unik dan mempunyai cara tersendiri untuk berhubung dengan mereka yang mengenalinya.

“Chantek merupakan seekor daripada orang utan tertua di zoo Amerika Utara dan ia dilahirkan di Pusat Kajian Primat Wilayah Yer­kes di sini sebelum dijaga oleh seorang ahli antropologi, Lyn Miles di Universiti Tennessee di Chattanooga selama sembilan tahun,” katanya.

Ketika tinggal bersama Miles, Chantek diajar bahasa isyarat, mengemas bilik dan mampu me­nunjukkan jalan dari universiti ke restoran makanan segera Dairy Queen.

Haiwan tersebut menjadi an­tara primat yang mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat Amerika, selain seekor gorila yang dikenali sebagai Koko dan Washoe, seekor chimpanzi betina.

Chantek dipindahkan ke Zoo Atlanta pada tahun 1997 dan se­ring menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan penjaga-penjaga zoo.

Bagaimanapun, haiwan cerdik itu dikatakan malu untuk berinteraksi dengan pihak yang tidak dikenalinya dan bertindak se­perti orang utan tipikal yang sering membuat bunyi dan gerak ta­ngan.

Chantek memulakan rawatan jantungya pada tahun 2016 dan penyakit kardiovaskular itu menjadi antara punca utama kematian golongan primat di zoo ber­kenaan. – REUTERS