Daily Star yang memetik jurucakap kerajaan Bangladesh sebagai berkata, langkah Myanmar itu akan menjejaskan aliran terusan sekali gus mengakibatkan banjir dan memaksa kira-kira 6,000 etnik Islam Rohingya yang tinggal di kawasan tersebut sejak Ogos 2017 melarikan diri sekali lagi.

Penduduk Rohingya nyata bimbang dengan binaan itu yang didakwa akan dijadikan sebagai stesen rondaan tentera Myanmar.

Timbalan Komisioner Cox’s Bazar, Kamal Ahmed berkata, beliau telah menghantar surat kepada setiausaha Kabinet bagi menyatakan kebimbangan berhubung kerja pembinaan struktur berkenaan.

“Kerajaan Myanmar tidak boleh membuat apa-apa struktur di kawasan tidak dituntut itu dan jika binaan ber­kenaan dibina, penempatan Ro­hingya akan terjejas dan ditenggelami air,” jelasnya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Universiti Dhaka, Prof. Imtiaz Ahmed berkata, Myanmar sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa dengan pembinaan struktur berkenaan.

“Tiada negara boleh melakukan kerja pembinaan di tanah tidak dituntut melainkan ada perjanjian dua hala dengan negara jiran berkenaan,” katanya.

Mengikut undang-undang an­tarabangsa, tiada pembinaan boleh dibuat dalam lingkungan 137 meter pada bahagian sempadan kedua-dua negara jika tiada perjanjian bilateral me­ngenainya dibuat. – AGENSI