Arahan itu dikeluarkan selepas Mahkamah Agung memutuskan perceraian berkenaan tidak mengikut perlembagaan dan ajaran Islam.

Beberapa mangsa perceraian talak tiga termasuklah Shayara Bano, yang sebelum ini diceraikan oleh suaminya melalui surat pada tahun 2015, telah meminta Mahkamah Agung untuk mengeluarkan arahan tersebut.

Barisan panel juri yang terdiri daripada lima penganut agama utama di India - Hindu, Kristian, Islam, Sikh dan Zoroastrian menyifatkan perceraian itu tidak mengikut ajaran agama dan me­langgar moral perlembagaan.

Menurut mereka, adalah tidak wajar membiarkan seorang lelaki menghancurkan perkahwinan de­ngan sewenang-wenangnya.

“Apa sahaja perkara yang mendatangkan dosa dalam agama, ia tidak sah di sisi undang-undang,” kata para juri tersebut.

Sementara itu, Shayara yang menderita selepas perceraiannya, melahirkan rasa gembira apabila keputusan tersebut diumumkan dan menyifatkan ia adalah peris­tiwa bersejarah untuk wanita Islam.

“Saya merayu kepada orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu ini dan menerima keputusan Mahkamah Agung berkaitan talak tiga.

“Saya rasa sedih apabila keluar­ga berpecah. Saya harap tiada siapa harus mengalami situasi seperti ini pada masa akan datang,” kata Shayara kepada pemberita di luar mahkamah.

Dalam pada itu, Menteri Wa­nita dan Kanak-kanak, Maneka Gandhi berkata, arahan tersebut merupakan satu langkah besar untuk kaum wanita.

“Perceraian adalah perkara yang sangat, sangat penting da­lam kehidupan seorang wanita. Keputusan berkenaan menjadikan wanita juga berhak dilindu­ngi oleh perlembagaan,” kata Gandhi dalam temu bualnya bersama stesen televisyen, News18. – AFP