Arsen, 40 menceraikan Lu­dy­mla, 37, kerana tidak tahan ejekan isterinya terhadap pemain ke­ge­marannya dari Argentina, Lionel Messi.

Menurut lelaki itu kepada akhbar Rusia, Argumenti i Fakty di Chelyabinsk, dia meminati Messi manakala Ludymla pula meminati pemain Portugal, Cristiano Ro­naldo dan mereka seringkali mempersendakan pemain kegemaran masing-ma­sing, dan kemuncak tahap kesabarannya berakhir pada Piala Dunia kali ini.

Selepas Argentina tewas pada Piala Dunia 2018, Ludmyla mula mengejek-ejek persembahan Mes­si dan menyifatkan pemain itu tidak pandai bermain bola sepak, lapor portal Oddity Central.

Pada mulanya Arsen tidak menghiraukan ejekan isterinya tetapi semasa perlawanan Argentina menentang Nigeria, dia tidak dapat menahan lagi kemarahannya.

Kemarahannya meletus apabila Ludmyla mula mengejek-ejek pemain kesayangannya sedangkan dia ketika itu sedang meraikan sepakan gol Messi.

“Saya sudah tidak tahan lagi. Sejak awal Piala Dunia, Ludmyla se­ring mengejek-ejek pemain kesa­yangan saya dengan mengatakan Messi bermain teruk malah tidak mampu menjaringkan gol semasa sepakan penalti yang penting ketika bertemu Iceland,’’ katanya.

Menurut Arsen lagi, semasa perlawanan menentang Nigeria, dia sangat bimbang tentang persembahan Argentina dan sekali lagi iste­rinya mengejek permainan Messi.

“Saya menjadi marah dan melepaskan geram saya terhadap pemain kesayangannya yang kacak, Ronaldo, pemain Portugal dan dirinya serta semua kelab bola sepak yang digilai Ludmyla, sebelum saya mengambil semua barang dan me­ninggalkannya,’’ katanya.

Keesokan harinya Arsen dilaporkan telah pergi ke pihak pendaftaran sivil di Chelyabinsk dan memfailkan perceraian.

Sebelum ini, pasangan tersebut yang merupakan peminat fanatik bola sepak bertemu dalam sebuah bar sukan di Chelyabinsk semasa Piala Dunia 2002 dan minat itu membawa mereka ke jinjang pelamin.

Walaupun kedua-dua mereka meminati dua kelab bola sepak Moscow yang bermusuhan, Spartak Moscow dan CSKA Moscow tetapi ia tidak menghalang mereka untuk bersatu.