Pemimpin Catalonia, Carles Puigdemont telah mengancam untuk mengumumkan kemerdekaan dalam beberapa hari lagi manakala menteri perniagaannya, Santi Vila pula mencadang supaya ‘perdamaian’ dicapai dalam pertelingkahan mereka dengan kerajaan Sepanyol.

Vila dalam artikel disiarkan dalam akhbar harian Ara, mendesak kumpulan propemisah ‘melihat kebaikan dan juga kesan’ akibat daripada pengisytiharan kemerdekaan dari Sepanyol.

Puigdemont telah menetapkan tempoh sehingga hari Selasa ini untuk mengumumkan kemerdekaan Wilayah Catalonia di Parlimen seperti mana yang disuarakan oleh sesetengah pemimpin.

Sesi Parlimen untuk menganalisis keputusan referendum yang diadakan pada hari Ahad lalu pada awalnya dijadualkan hari Isnin ini tetapi Mahkamah Perlembagaan Sepanyol telah mengeluarkan perintah supaya keputusan itu digantung.

Kerajaan Catalonia juga secara rasmi belum lagi mengesahkan keputusan undi yang merupakan salah satu langkah untuk memberi ruang selama dua hari untuk Parlimen membuat pengisytiharkan kemerdekaan.

Warga Catalonia di wilayah timur laut Sepanyol yang kaya dan dihuni 7.5 juta penduduk dalam referendum bersetuju untuk berpisah dari Sepanyol meskipun bilangan mereka yang mengundi hanyalah 43 peratus kerana mereka yang mahu kekal memboikot pungutan suara itu.

Menurut kerajaan Catalonia, sebanyak 90 peratus pengundi pungutan suara itu menyokong perpisahan wilayah itu dari Sepanyol tetapi tinjauan orang ramai menunjukkan penduduknya kini berpecah.

Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy yang kini berada dalam keadaan tertekan menggesa Puigdemont supaya tidak meneruskan rancangan mengistiyarkan kemerdekaan pada Selasa ini supaya keadaan huru hara dapat dielakkan.

Penganalisis berpendapat kerajaan Catalonia juga akan kehilangan simpati antarabangsa dan jika ia membuat pengisytiharan kemerdekaan berdasarkan undi tidak mengikut perlembagaan secara sah.

Seorang profesor Antropologi dan Sosiologi di Barcelona, Olga Jubany berkata, konflik dalaman akan timbul jika pengistiharan kemerdekaan dilakukan.

Sementara itu, perhimpunan telah diadakan di Sepanyol sebagai membantah cadangan kemerdekaan oleh Catalonia selepas timbul pertikaian tentang referendum yang diadakan itu.

Beratus ribu mengadakan bantahan di Madrid dan bandar-bandar lain, mengesa supaya diadakan dialog politik untuk mencari penyelesaian dan mengelak berlaku perpecahan.– Agensi