Pihak polis bandaran menganggarkan kira-kira 200,000 orang menyertai bantahan itu di sekitar Barcelona termasuk di Plaza Constitucio dan juga bandar-bandar lain di Catalonia termasuk Girona dan Reus.

Kedua-dua lelaki itu merupakan individu utama mengerakkan referendum pemisahan dari negara ini pada 1 Oktober yang disifatkan oleh Sepanyol sebagai tidak sah.

Jurucakap kerajaan Catalonia, Jordi Turull menegaskan keputusan mahkamah atau penahanan Sanchez dan Cuixart tidak akan dapat menghalang tuntutan kemerdekaan Catalonia itu.

“Kerajaan Catalonia tidak pernah menimbang untuk menyerah kalah,’’ katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Sepanyol, Soraya Saenz de Santamaria berkata, kerajaan Sepanyol akan menggantung pemerintahan autonomi Catalonia kecuali pemimpinnya menghentikan tuntutan kemerdekaan.

Saenz de Santamaria membe­ritahu Parlimen, jika pemimpin pemisah, Carles Puigdemont tidak memberi maklum balas yang memuaskan sehingga esok, pe­mimpin itu telah melanggar Artikel 155 Perlembagaan.

Puigdemont telah pun menandatangani deklarasi kemerdekaan tetapi menangguhkan pelaksa­naannya bagi memberi laluan kepada rundingan yang dijangka akan diadakan dalam tempoh dua bulan ini.

Pemimpin berkenaan juga telah menimbulkan kemarahan kerajaan Sepanyol apabila enggan menjelaskan sama ada beliau telah mengisytiharkan kemerdekaan tersebut minggu lalu dan mempunyai tempoh sehingga esok untuk menjelaskan kedudukannya itu.

Dalam pada itu Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, negaranya tidak akan mengiktiraf deklarasi kemerdekaan Catalonia.

May berkata, negaranya mendapati pu­ngutan suara itu tidak mempunyai asas undang-undang dan pengisytiharan kemerdekaan satu pihak tidak konsisten de­ngan undang-undang. – Agensi