SEORANG petugas mengelap bagasi penumpang dengan sehelai kain di sebuah lapangan terbang di Jepun.

Sebuah rakaman video yang dikongsi di laman sosial mendedahkan bagasi penumpang diurus dengan baik sebaik tiba di sesebuah lapangan terbang di negara itu.

Berbeza dengan layanan kasar yang kita jangkakan berlaku sebaik sahaja bagasi dibawa keluar dari perut pesawat di sesebuah destinasi, keadaan sebaliknya berlaku di Jepun.

Dalam rakaman itu, seorang petugas wanita dilihat membongkok sambil mengelap beg yang keluar dari ruang ketibaan dengan cermat menggunakan sehelai kain putih.

Tidak diketahui lokasi lapangan terbang tersebut dan ketibaan bagasi dari mana, namun rakaman video itu memperlihatkan perkhidmatan yang diberikan lebih baik daripada layanan yang diterima di lapangan terbang Luton di United Kingdom pada bulan lalu yang menunjukkan pekerja di lapangan terbang terbabit mencampakkan bagasi penumpang. – http://metro.co.uk