Suu Kyi berkata, campur ta­ngan tersebut secara tidak langsung juga boleh merosakkan proses rundingan untuk menghantar pulang kira-kira 600,000 penduduk berkenaan yang bera­da di Bangladesh ketika ini.

Ketika ini juga, kata Suu Kyi, isu yang dihadapi oleh Myanmar dan Bangladesh hanya boleh di­se­lesaikan menerusi proses run­dingan dua hala yang melibatkan kedua-dua negara sahaja.

“Kenyataan Presiden (merujuk kepada Majlis Keselamatan PBB) itu mungkin boleh mengganggu proses rundingan ini daripada berlangsung dengan lancar dan cepat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di sini.

Kelmarin, Majlis Keselamatan PBB menggesa Myanmar supaya tidak lagi menggunakan kekerasan atau kuasa tentera terhadap penduduk Rohingya ketika ini.

Selain itu, mereka turut me­nyatakan kekesalan terhadap beberapa laporan berkaitan khususnya berhubung pelanggaran hak asasi manusia serta isu kekejaman di Rakhine.

Sementara itu, kenyataan yang sama turut menyebut bahawa proses rundingan masih berjalan ketika ini dengan Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali dijangka menga­dakan kunjungan dua hari ke Myanmar bermula 16 November depan.

Pihak berkuasa Bangladesh ba­gaimanapun mendakwa, Abul Hassan hanya akan mengunjungi Myanmar pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Dalam perkembangan lain, Per­dana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menggesa ma­sya­rakat antarabangsa supaya me­ngenakan tekanan yang lebih kuat ter­hadap Myanmar ber­hubung isu Rohingya.

“Saya akan meminta anda semua memberi keuta­maan dalam isu membabitkan Rohingya ini selain mendesak kerajaan Myanmar supaya menghentikan penindasan serta membawa mereka (Rohingya) pulang lebih awal,” katanya. – REUTERS