Jurucakap White House, Sean Spicer berkata, Presiden Donald Trump mahu jawatan itu diisi ‘sebaik sahaja beliau menemukan calon yang memenuhi kualiti yang difikirkan sesuai’.

Portal Fox News memetik sumber kerajaan sebagai berkata, White House sedang ber­usaha sepantas mungkin untuk mencari pengganti Comey de­ngan teliti.

Antara calon terlibat adalah Pemangku Pengarah FBI, Andrew McCabe dan anggota Parti Republikan yang juga anggota kedua tertinggi dalam Senat serta bekas Peguam Negeri Texas, Senator John Cornyn.

Dua lagi calon ialah Hakim Mahkamah Rayuan New York, Michael Garcia dan peguam kanan, Alice Fisher.

McCabe merupakan Timbalan Pengarah FBI yang pernah mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan White House apabila menyifatkan siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS sebagai ‘siasatan yang sangat penting’.

Malah beliau juga menyuarakan kesangsian terhadap dakwaan White House bahawa kakitangan FBI telah hilang kepercayaan terhadap Comey.

Sementara itu, Trump memberi amaran kepada Comey agar tidak bercakap kepada pihak media, tindakan yang dilihat sebagai cubaan Presiden untuk menutup mulut bekas Pengarah FBI ber­kenaan.

Menerusi Twitter, Trump se­olah-olah mengugut Comey apabila memberitahu beliau berharap ‘tiada pita rakaman’ berhubung perbualan mereka berdua.