Persoalannya, bagaimana persiapan Arab Saudi bagi memastikan semua jemaah dapat mengerjakan ibadah haji dengan baik dan selamat. Ini berikutan wujud beberapa konflik yang membelenggu negara itu sejak akhir-akhir ini.

Terbaharu ialah isu keganasan yang berlaku pada bulan Ramadan lepas dan penarikan diri negara itu daripada terus menjalinkan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Tindakan pantas pihak berkuasa tempatan dalam menghidu rancangan pengganas untuk menyerang Masjidilharam baru-baru ini seharusnya dipuji.

Dalam kejadian pada 23 Jun lalu itu, seorang pengebom bunuh diri dilaporkan berbalas tembakan dengan anggota keselamatan. Suspek meletupkan diri selepas dia dikepung oleh anggota ke­selamatan di sebuah rumah di kawasan kejiranan Ajyad al-Masafi berdekatan Masjidilharam.

Bangunan kediaman itu runtuh akibat letupan berkenaan, menyebabkan enam rakyat asing dan lima anggota keselamatan cedera. Walau bagaimanapun masih belum dipastikan dalang di sebalik kejadian berkenaan.

Sementara itu, menyingkap kembali konflik politik yang membelenggu negara-negara Teluk baru-baru ini, Arab Saudi bersama beberapa negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kerana dikatakan melanggar perjanjian rahsia yang ditandatangani pada empat tahun lalu.

Perjanjian itu memaksa Qatar untuk menghentikan sokongan dan pembiayaan kepada kumpulan pengganas, menghentikan campur tangan dalam hal ehwal dalaman jiran negara Teluk dan tidak menyokong media bersikap antagonis.

Syarat perjanjian tersebut tidak pernah didedahkan namun mereka mendakwa senarai 13 tuntutan yang dikemukakan kepada Qatar sebagai syarat untuk menghapus sekatan terhadap Doha merupakan sebahagian daripada perjanjian tersebut.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan, rak­yat Qatar boleh menunaikan ibadah itu pada bila-bila masa walaupun empat negara antike­ganasan termasuk Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

Lapor portal Arab News, ke­men­­­terian itu memaklumkan, bagi ibadah umrah, rakyat Qatar boleh memasuki Arab Saudi de­ngan mana-mana pesawat kecua­li Qatar Airways.

Rakyat Qatar dan ekspatriat yang memiliki visa residen negara itu dan mempunyai permit haji daripada kementerian di negara ini atau mana-mana pertubuhan yang berkaitan di negara sendiri boleh memasuki Arab Saudi menerusi syarikat penerbangan yang telah dipilih Doha dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerba­ngan Awam Arab Saudi (GACA).

Dalam pada itu, penularan wabak kolera (taun) juga dikatakan menjadi cabaran kepada Arab Saudi dalam memastikan jemaah yang menunaikan haji tahun ini tidak terkesan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran ko­lera akan memberi kesan kepada jutaan jemaah haji seluruh dunia berikutan penularan penyakit tersebut di Yemen dan beberapa negara Afrika lain.

Menyedari keadaan itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengambil langkah pencegahan dengan menubuhkan Pusat Kawalan dan Arahan untuk memantau kes yang mencurigakan, menyediakan bantuan vaksin serta mencadangkan kepada jemaah untuk memakai topeng muka sepanjang masa.

Arab Saudi juga mula menge­luarkan visa untuk jemaah haji Iran pada minggu lalu, menurut Timbalan Ketua Haji dan Jemaah Iran, Nasrollah Farahmand selepas ketegangan hubungan antara kedua-dua negara melibatkan beberapa peristiwa penting.

Nasrollah berkata, siri pertama visa untuk jemaah haji Iran dikeluarkan secara elektronik pada minggu lalu.

“Walaupun rundingan bersama Arab Saudi bagi menghantar jemaah Iran menunaikan haji tahun ini bermula lewat, namun semua jadual telah dirancang untuk memastikan maruah jemaah Iran terjaga.

“Langkah yang baik telah diambil untuk menyediakan per­­khid­matan berkualiti untuk jemaah haji dari aspek makanan, penginapan, dan pengangkutan,” katanya, menurut satu laporan Farsi oleh ISNA.

Pada 2015, insiden rempuhan di Mina semasa jemaah haji me­lakukan ibadah melontar Jamrah menyebabkan lebih 1,000 orang maut termasuk 465 rakyat Iran.

Terdahulu pada bulan yang sama, sebuah kren pembinaan tumbang di Masjidilharam, membunuh lebih daripada 100 jemaah, termasuk 11 warga Iran, dan mencederakan lebih 200 orang lain, termasuk 32 warganegara Iran.

Arab Saudi juga memutuskan hubungan diplomatik de­ngan Iran pada Januari tahun lalu selepas protes besar-besaran di hadapan Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan Mashhad ekoran pelaksanaan hukuman mati ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr.

Jaminan keselamatan dan ke­selesaan kepada jemaah haji seluruh dunia pastinya menjadi ke­uta­maan kepada Arab Saudi bagi memastikan perjalanan rukun Islam kelima itu lancar.

Walaupun tercetus pelbagai peristiwa dan konflik yang melanda Arab Saudi, pastinya kerajaan negara itu tidak akan berdiam diri dan mencari penyelesaian terbaik, sesuai dengan status mereka sebagai antara negara Islam terpenting dunia.