Rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 11 September ini, setahun lebih awal daripada waktu pilihan raya yang sepatutnya dijalankan susulan keyakinan kerajaan dengan sokongan rakyat ketika ini.

“Ini adalah masa depan anda, undilah PAP bagi membolehkan kami bekerjasama dengan anda, untuk anda, untuk Singapura,” kata Hsien Loong kepada penyokongnya selepas mengisi borang pencalonan.

Penamaan calon untuk pilihan raya umum Singapura diadakan pada hari ini.

Calon pilihan raya umum perlu mengemukakan secara rasmi borang penamaan masing-masing sebelum tengah hari ini di sembilan pusat penamaan calon.

Selain PAP, lapan parti lain dijangka mengenengahkan calon masing-masing untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Parti berkenaan ialah Parti Pekerja; Parti Rakyat Singapura (SPP); Perikatan Demokratik Singapura (SDA); Parti Demokratik Singapura (SDP); Parti Perpaduan Nasional (NSP); Parti Reform (RP); Parti Warga Diutamakan (SF), dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Rakyat Singapura akan mengundi memilih 89 anggota parlimen di 29 kawasan pilihan raya dalam pilihan raya pertama negara ini selepas kematian pengasasnya, Lee Kuan Yew, Mac lalu.

Ini merupakan pilihan raya ketiga untuk Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PAP, Hsien Loong.

Dalam pilihan raya umum 2011, PAP mengekalkan kuasanya dengan memenangi 81 daripada 87 kerusi Parlimen. – BERNAMA/REUTERS