Radio Free Asia yang memetik kenyataan beberapa sumber melaporkan, kebanyakan pengurus projek terpaksa meletakkan tekanan yang tinggi kepada pekerja masing-masing kerana hampir semua projek itu perlu disiapkan sebelum kedatangan musim sejuk.

“Pengurus-pengurus projek itu kini memberi dadah secara terbuka agar para pekerja mereka dapat menyiapkan kerja dengan lebih cepat,” jelas sumber ber­kenaan.

Ketika ini, ratusan ribu pekerja binaan di Pyongyang terlibat de­ngan beberapa projek pembinaan bertaraf mega di negara itu.

Menurut satu lagi sumber, sebahagian besar daripada pekerja binaan itu kini ‘sangat menderita’ untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan termasuk sebuah kompleks pangsapuri setinggi 70 tingkat selain sekurang-kurang­nya 60 struktur binaan lain.

Beberapa orang pekerja binaan didakwa meluahkan rasa tidak puas hati mereka menerusi lukisan berbentuk grafiti di tembok-tembok bangunan serta kawasan-kawasan yang agak tersorok.

Antara yang ditulis termasuklah ‘Pyongyang maju disebabkan dadah’ dan ‘tentera dadah’ yang dianggap sebagai jenayah politik di negara ini.

Menurut sumber, polis Pyongyang kini sedang menjalankan gerakan memburu suspek yang terlibat.

“Pasukan penyiasat telah memberi amaran kepada pekerja-pekerja binaan bahawa mereka akan dikenakan hukuman yang berat jika didapati terlibat me­nyalahgunakan dadah,” katanya.