Saintis percaya, manusia tidak lama lagi berdepan dengan suhu panas dan laut melampau dalam beberapa abad yang akan datang.

Walaupun negara-negara berjaya mencapai sasaran pengeluaran karbon dioksida yang ditetapkan tetapi penduduk dunia masih terdedah kepada bahaya bumi yang panas.

Kajian menunjukkan feno­mena itu boleh berlaku jika suhu global meningkat sebanyak dua darjah (2C).

Sebuah pasukan penyelidik iklim antarabangsa ketika me­nulis dalam jurnal National Aca­demy of Sciences berkata, suhu panas dalam tempoh beberapa dekad lagi dijangka boleh mengubah kuasa semula jadi bumi yang kini bertindak melindungi manusia menjadi musuh.

Pada setiap tahun, hutan, laut dan tanah menyerap kira-kira 4.5 bilion tan karbon dioksida yang tanpa berbuat demikian mengubah atmosfera bumi kepada peningkatan suhu.

Ketika dunia mengalami pemanasan, karbon dioksida yang diserap itu boleh menjadi sumber kepada masalah perubahan iklim menjadi semakin buruk.

Pada tahun 2015, kerajaan-kerajaan dunia memberikan komitmen mereka untuk mengekalkan suhu daripada naik melebihi dua darjah selain berusaha mengekalkannya di bawah 1.5 darjah.

Menurut saintis, pelan untuk mengurangkan karbon dioksida mungkin tidak mencukupi jika analisis dilakukan mereka betul.

“Apa yang kita katakan adalah apabila kita mencapai dua darjah pemanasan, kita mungkin berada di titik di mana kita menye­rahkan mekanisme mengawal iklim kepada bumi sendiri.

“Kita (manusia) adalah orang yang mengawalnya sekarang, tetapi apabila kita melepasi 2 darjah, kita melihat bahawa sistem bumi lebih daripada menjadi musuh berbanding rakan. Kita benar-benar menyerahkan nasib kita kepada sistem bumi yang mula bergerak keluar dari keseimbangan,” kata pengarang kajian bersama, Profesor Johan Rockstrom, dari Stockholm Resilience Centre, kepada BBC.

Buat masa ini, suhu global telah meningkat kira-kira satu darjah di atas paras pra-industri dan ia meningkat sekitar 0.17C setiap dekad.

Pada masa ini, langkah itu mem­bantu manusia untuk me­ngelakkan kesan buruk karbon dioksida dan peningkatan suhu termasuk hutan, ais laut Artik, dan hidrat metana di dasar laut.

Kebimbangannya adalah jika satu daripada sistem ini berubah dan mula mendorong sejumlah besar karbon dioksida ke atmosfera, ia boleh menjadi seperti kesan domino.