Rakhine yang menjadi kawasan penempatan minoriti Islam Rohingya dan bersempadan Bangladesh, dikepung tentera Myanmar sejak serangan bulan lalu di kawasan sempadan yang menyebabkan sembilan anggota polis terbunuh.

Imej satelit yang disiarkan oleh Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia, Human Rights Watch (HRW) menunjukkan gambar yang disifatkan kumpulan itu sebagai bukti serangan kebakaran besar-besaran terhadap perkampungan Rohingya.

Analisis yang dibuat kumpulan itu menunjukkan lebih 400 bangunan dibakar di tiga perkampungan Rohingya yang menjadi lokasi pertempuran dengan tentera Myanmar.

Jelas kumpulan tersebut, imej terbaharu yang dirakam pada 10 November lalu itu menunjukkan api dan sisa kebakaran yang kebanyakannya dilakukan secara sengaja.

Pengarah Bahagian Rantau Asia kumpulan itu, Brad Adams berkata, gambar baharu terbabit memperlihatkan kemusnahan be­sar-besaran yang lebih teruk daripada apa yang dijangkakan kumpulan tersebut.

“Pihak berkuasa Myanmar per­lu segera menubuhkan siasatan dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai langkah pertama ke arah memastikan keadilan dan ke­selamatan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, sebanyak lapan orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera Myanmar dengan etnik Rohingya yang kononnya disyaki sebagai militan di utara Rakhine, lapor media.

Pertempuran tersebut dilaporkan berlaku semalam di kawasan perkampungan di utara Rakhine, menyebabkan seorang pegawai dan seorang tentera turut terbunuh.

Enam mayat penyerang ditemui selepas pertempuran ber­akhir dan pihak berkuasa mengesahkan telah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut.

Menurut laporan akhbar Glo­bal New Light of Myanmar pertempuran bermula apabila kira-kira 60 penyerang bersenjatakan senapang, pisau dan tombak dikatakan menyerang hendap tentera kerajaan pada awal pagi semalam.

Krisis terbaharu dan laporan pencabulan hak yang dilakukan ke atas penduk Rohingya, menambah tekanan antarabangsa ke atas kerajaan Myanmar dan membangkitkan persoalan mengenai kemampuannya mengawal tentera.

Pihak berkuasa juga dilaporkan mengehadkan akses ke lokasi-lokasi kejadian sehingga menyukarkan media untuk mengesahkan laporan kerajaan atau tuduhan salah mengenai laku tentera. – AFP/REUTERS