Kesemua tengkorak ber­kenaan dijumpai di sebuah tapak yang terletak di atas tebing berhadapan Laut Pasifik di wilayah La Li­bertad, lokasi kemunculan peradaban Chimu.

Masyarakat ketika itu merupakan kaum pra-Columbia kuno dan dikatakan menyembah bulan.

“Walaupun insiden me­libatkan korban manusia dalam kalangan kaum Aztec, Maya dan Inca telah direkodkan dalam catatan zaman penjajahan Sepanyol serta didokumenkan mela­lui aktiviti penggalian saintifik moden, penemuan korban kanak-kanak berskala besar sewaktu peradaban Chimu adalah tidak pernah berlaku sebelum ini di benua Amerika - atau mungkin seluruh dunia,” menurut National Geographic.

Penyiasatan itu dijalankan oleh pasukan antarabangsa yang diketuai oleh pengembara National Geographic, Gabriel Prieto dari Universiti Kebangsaan Trujillo, Peru dan ahli antropologi fizik, John Verano dari Universiti Tulane, New Orleans.

“Saya tidak pernah men­­jangkakannya. Dan sa­ya tidak fikir orang lain pun melihat perkara seper­ti ini,” ujar Verano.

Aktiviti penggalian oleh pasukan itu bermula sekitar 2011, apabila mereka menjumpai 42 tengkorak kanak-kanak dan 76 llama di sebuah kuil berhampiran yang berusia 3,500 tahun.

Apabila penggalian ter­sebut berakhir lima tahun kemudian, mereka menjumpai lebih 140 tengkorak kanak-kanak dan 200 llama, selain tali serta tekstil yang bertarikh sekitar tahun 1400 serta 1450.

Para penyelidik mendapati kesemua kanak-kanak berkenaan berusia antara lima dan 14 tahun dan mayat mereka dikebumikan menghadap arah barat. – AFP