Wakil Amnesty, Tirana Hassan memberitahu BBC, imej tersebut menjadi bukti jelas bahawa tentera Myanmar cuba mengusir golongan minoriti tersebut keluar dari negara berkenaan biarpun mereka sebelum ini memberi alasan tindakan itu dilakukan sebagai langkah membanteras kumpulan pejuang Rohingya.

“Kami mempunyai banyak lagi bukti berdasarkan data pengesan kebakaran, gambar dan video, selain temu ramah dengan ba­nyak saksi mengenai ‘kempen yang di­rancang’ oleh Myanmar untuk menghapuskan etnik Rohingya.

“Bukti yang diperoleh tidak dapat disangkal. Pasukan tente­ra Myanmar sengaja membakar perkampungan di daerah utara Rakhine,” katanya.

Kerajaan Myanmar menyatakan sekurang-kurangnya 30 peratus atau sebanyak 176 daripada 471 perkampungan Rohingya di Rakhine kini kosong.

Tirana turut memaklumkan ba­hawa Amnesty mengesan se­kurang-kurangnya 80 kebakaran di kawasan berpenghuni di Rakhi­ne sejak 25 Ogos lalu.

“Tentera Myanmar akan me­ngepung perkampungan Rohingya sebelum melepaskan tembakan rambang terhadap penduduk dan membakar rumah mereka. Tindakan itu dilihat sebagai jenayah yang menentang hak asasi manusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, portal berita Arakan Times melaporkan tentera Myanmar membakar perkampu­ngan Rohingya di selatan Maungdaw, Rakhine semalam.

Menurut sumber, pasukan tentera Myanmar memasuki perkampungan tersebut pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan mula membakar rumah Rohingya dan kebakaran dikatakan berlarutan dalam tempoh lama.

Biarpun dikutuk pihak antarabangsa, tentera Myanmar meneruskan tindakan tidak berpe­ri­kemanusiaan mereka dengan membakar lebih banyak perkampungan Rohingya.

Seorang daripada etnik Rohingya memberitahu bahawa tentera Myanmar membakar kampung me­reka menggunakan senjata se­per­ti pelancar roket.

“Ketika saya dan keluarga sedang bersiap sedia untuk melarikan diri, tentera Myanmar masuk ke kampung kami dan melepaskan tembakan berupa bebola api ke arah rumah penduduk.

“Kami semua berasa panik dan segera melarikan diri sebelum men­jadi mangsa tembakan rambang mereka,” katanya.

Sementara itu, Amnesty me­nya­takan jumlah kampung Rohingya yang musnah mungkin lebih tinggi daripada yang dijangka berikutan faktor cuaca menghalang satelit merakam gambar dengan jelas. AGENSI