Dalam wawancara bersama akhbar tempatan Jerman, Suddeutsche Zeitung, Babak berkata, beliau telah terlibat dalam pembinaan pesawat tempur buatan Rusia tersebut sejak 30 tahun lalu dan percaya jet itu tidak mampu melancarkan serangan pada ketinggian tertentu.

Jelasnya, jet Su-25 boleh menyerang sebuah pesawat Boeing pada ketinggian 3,000 atau 4,000 meter, tetapi tidak boleh menembak jatuh pesawat lain pada ketinggian 10,500 meter di udara.

Tambah beliau, pa­sukan pereka yang diketuainya, mencipta pesawat itu supaya boleh digunakan hanya pada ketinggian rendah dan sederhana.

“Pesawat Su-25 boleh mencapai altitud tinggi, tetapi untuk menembak jatuh pesawat Boeing MH17 yang meletup di udara ketika kejadian, peluru berpandu berkuasa tinggi perlu digunakan oleh jet tempur itu.

“Malah, peluru berpandu udara ke udara hanya boleh menyebabkan kerosakan pada pesawat milik MAS itu, tetapi tidak disabitkan sebagai punca tragedi tersebut,” kata Babak yang dilahirkan di Ukraine dan bekerja sebagai Ketua Pereka Bentuk di syarikat penghasilan pesawat milik Rusia, Sukhoi.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan peluru berpandu permukaan ke udara untuk menembak jatuh pesawat MH17 termasuk sistem pertahanan BUK.

“Saya percaya semua dakwaan yang melibatkan pesawat Su-25 milik tentera udara Ukraine dalam insiden itu adalah cubaan menghilangkan bukti,” katanya.

Laporan sebelum ini yang dikeluarkan oleh Moscow, mendakwa sebuah pesawat Su-25 digunakan oleh tentera Ukraine untuk menembak jatuh MH17 pada 17 Julai lalu sehingga mengorbankan 298 penumpang dan krew, kebanyakannya rakyat Belanda.

Namun pihak berkuasa Ukraine menuding jari kepada Rusia dengan mendakwa pesawat terbabit ditembak jatuh menggunakan sistem pertahanan BUK yang disalurkan oleh Moscow kepada kumpulan pemberontak di timur Ukraine.

Bagaimanapun, pasukan penyiasat yang diketuai kerajaan Belanda dijangka mengeluarkan laporan akhir tragedi tersebut pada Oktober ini.