The Telegraph melaporkan, beberapa gambar Daniel Cabrera sedang mengulang kaji pelajaran de­ngan hanya bercahayakan lampu dari sebuah restoran makanan segera di Filipina mendapat perhatian ramai.

Gambar tersebut diambil seorang pelajar perubatan di Universiti Perubatan Cebu, Joyce Torrefranca ketika melalui Jalan Subangdaku, di Bandar Mandaue, Wilayah Cebu selepas kegigihan kanak-kanak tersebut mencuri tumpuannya.

“Jika ianya penting untuk anda, anda akan cari jalan. Jika ia tidak penting, anda akan cari alasan,” kata keterangan gambar yang dimuat naik oleh Torrefranca dalam laman sosial Instagramnya, baru-baru ini.

Foto tersebut kemudian dikongsi oleh berpuluh-puluh ribu pengguna laman sosial seluruh dunia yang kagum dengan keazaman kanak-kanak itu.

Cabrera kehilangan tempat berteduh apabila bapanya terbunuh dan rumahnya musnah dalam satu kebakaran beberapa tahun dulu.

Dia kini hidup bersama ibunya dan seorang adik berusia 7 tahun di sebuah gerai makan.

Pada sebelah siang, ibu kanak-kanak itu, Maria Christina Espinosa bekerja sebagai pembantu di gerai makan itu dengan upah 60 peso (RM5) sehari.

Pada sebelah malam pula, mereka bertiga tidur di gerai makan de­ngan hanya berkatilkan meja dan bangku kayu.

“Sebagai seorang pelajar, ke­adaan ini memberi saya kekuatan untuk berusaha lebih keras. Saya bernasib baik kerana ibu mampu hantar saya ke sekolah. Cabrera te­lah membuka mata saya.

“Anda tidak perlukan banyak, anda hanya perlu azam dan fokus kepada perkara yang anda mahu capai,” kata Torrefranca kepada rangkaian berita sosial, Rappler.

Guru kepada murid darjah tiga di Sekolah Rendah Subangdaku itu, Rosalina Detuya menyifatkan Cabrera sebagai seorang pelajar rajin dan ceria.

“Dia juga bijak dan sentiasa menjawab soalan dalam kelas, dia benar-benar tumpukan perhatian,” katanya.