Lebih mengejutkan, kanak-ka­nak berusia lapan tahun dari Ohio itu turut membawa adik perempuannya bersama ketika memandu sejauh hampir dua kilometer (km) itu.

Weirton Daily Times melaporkan, kanak-kanak lelaki tersebut dipercayai belajar memandu selepas menonton beberapa video berkaitan di laman YouTube.

Dakwa akhbar itu, ketika kejadian, ahli keluarga kanak-kanak terbabit dipercayai sedang tidur.

Polis kemudian bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung perkara itu daripada orang ramai.

Seorang anggota pe­ronda di East Palestine, Jacob Koehler memberi­tahu, kakitangan restoran berkenaan tidak mempercayai kanak-kanak terbabit semasa membuat pesanan di kaunter pandu lalu dan menganggap perbuatan itu hanya jenaka.

“Mereka (kakitangan McDonald’s) pada mulanya menyangka ibu bapa kanak-kanak terbabit bersembunyi di tempat duduk belakang van. Namun, tekaan mereka meleset,” kata Koehler.

Tambah Koehler, kanak-kanak lelaki itu mula menangis ketika dihampiri anggota polis kerana menyangka telah melakukan satu kesalahan yang besar.

Ibu bapa kepada kedua-dua kanak-kanak itu kemudian dipanggil ke balai polis untuk memberikan keterangan. Bagaimanapun, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Bagi kedua-dua kanak-kanak itu pula, selain berpeluang menikmati burger keju seperti yang diidamkan, mereka turut menerima satu set hidangan nugget ayam dan kentang goreng sebagai hadiah. – AFP