Bangkok Post melaporkan, sebanyak 10 orang turut cedera dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi itu ketika polis mengawal lalu lintas di hadapan Sekolah Ban Taba di Kampung Ban Taba dekat mukim Jeh Hay.

Menurut jurucakap polis, mangsa dikenali sebagai Mayeng Wohba dan anak perempuannya Mitra, 4, manakala empat anggota polis dari Balai Polis Tak Bai dan enam orang awam cedera dalam kejadian itu.

Seorang lagi lelaki berusia 23 tahun meninggal dunia di hospital.

Jurucakap itu berkata, bahan letupan tersebut diletakkan pada tangki minyak sebuah motosikal dan meledak ketika murid dan guru sedang memasuki kawasan sekolah ber­kenaan.

“Dua yang terbunuh dipercayai seorang bapa dan anak­nya yang bersekolah di sebuah tadika,” kata jurucakap itu yang tidak mahu namanya didedahkan.

Kumpulan pemisah di wilayah selatan Thailand sering menjadikan sekolah dan guru sebagai sasaran serangan sehingga ada guru yang dibunuh di hadapan murid.

Jurucakap Pusat Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Ne­geri cawangan selatan, Kolonel Pramote Phrom-in mengecam serangan di luar bangunan sekolah yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Katanya, pihak berkuasa sedang memburu dalang itu dan akan menyelaraskan bantuan kepada mangsa terlibat.

Lebih 6,500 orang terutama­nya orang awam terbunuh akibat serangan kumpulan pemisah sejak 2004 sama ada menggunakan bahan letupan atau senjata api. – AFP/AGENSI