Menurut jurucakap polis, dua wanita yang ditemui mati terpe­rangkap dalam kereta bawah jambatan dan seorang lagi mati lemas di sebuah kawasan perumahan Murwillumbah di selatan sempadan Queensland semalam.

Empat lagi dikhuatiri hilang manakala lebih 100,000 rumah masih lagi hidup bergelap tanpa bekalan elektrik sejak puting beliung kategori empat melanda timur Laut Australia.

Pihak berkuasa juga bimbang lebih ramai orang mungkin telah meninggal dunia kerana air banjir terus meningkat.

Pada masa yang sama, banjir yang turut menghanyutkan haiwan dan reptilia berbahaya se­perti buaya, ular dan jerung juga mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk dan pihak berkuasa.

Semalam seekor jerung terdampar di Burdekin River, sekali gus menggemparkan penduduk sekitar kerana pada sangkaan mereka ia adalah ikan lumba-lumba.

Selain jerung, terdapat aduan yang menyatakan terdapat spesies yang dikatakan cuba mencari tempat berteduh terutamanya untuk menghangatkan badan mereka.

Lebih menakutkan, Australia merupakan antara 20 buah negara yang menjadi habitat kepada ular paling berbisa di dunia.

Pada masa ini, angin puting beliung yang melanda kawasan ini dilaporkan semakin reda kepada tahap tropika rendah, tetapi terus membawa sejumlah hujan lebat di sepanjang laluan ke Pantai Timur New South Wales, di selatan Queensland dan Sydney.

Pihak berkuasa Queensland mengeluarkan amaran bahawa Sungai Logan yang terletak di selatan Brisbane akan mencapai paras banjir maksimum dalam tempoh beberapa jam lagi.

Sehubungan itu, Komisioner Ian Stewart, mengingatkan penduduk di sekitar Sungai Logan supaya bersiap sedia bagi berdepan risiko banjir.

Bandar Rockhampton yang terletak di utara juga berhadapan ancaman serupa dengan populasi lebih 80,000 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Fitzroy.

Sementara itu, bencana yang berlaku dijangka memberi kesan buruk kepada ekonomi negara ini dengan kerugian sebanyak AS$1.7 trilion (RM7.5 trilion). – Agensi