Menurut laporan BBC, penjelasan itu dibuat susulan kenya­taan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengkritik penguatkuasaan undang-undang berkenaan.

PBB memaklumkan, Brunei melanggar hak asasi manusia apabila menguatkuasakan undang-undang syariah bermula 3 April lalu.

Mengikut undang-undang itu, pesalah liwat, zina dan rogol boleh dikenakan hukuman mati selain direjam serta hukuman potong tangan terhadap individu yang didapati bersalah atas kesalahan mencuri.

Mengulas kritikan PBB, Menteri Luar Brunei, Erywan Yusof memberitahu, pelaksanaan tersebut bertujuan lebih kepada mendidik, mencegah, rehabilitasi dan membentuk, berban­ding hanya menghukum.

Jelasnya, undang-undang syariah tidak menghukum berdasarkan orientasi seksual atau kepercayaan termasuk hubungan sejenis.

“Hukuman jenayah terhadap ‘penzinaan dan liwat adalah untuk melindungi keturunan dan perkahwinan individu Muslim terutama wanita’.

“Hukuman maksimum bagi pemotongan tangan atau mati hanya dijalankan bagi kes ter­tentu dengan sekurang-kurangnya dua lelaki ‘mempunyai moral tinggi dan warak’ perlu menjadi saksi,” katanya.

Pada 1 April lalu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menghantar surat kepada wakil Brunei di Geneva memberi amaran pelaksanaan undang-undang syariah itu me­langgar ratifikasi ditandata­ngani pada 2006 dalam Deklarasi Universal Hak Asasi 1948.

Bagaimanapun, Brunei meneruskan perlaksanaan undang-undang syariah itu bersama undang-undang lain.