Penolakan itu adalah tamparan selain mengejutkan pelbagai pihak kerana ia jarang sekali berlaku sekali gus menunjukkan ketidakupayaan Bangkok untuk menangani konflik tersebut.

BRN dalam kenyataannya hari ini berkata, mereka membantah garis panduan pelan damai yang dicadangkan oleh Thailand sebaliknya menggesa penyertaan pihak ketiga iaitu penglibatan antarabangsa sebagai pemerhati dan saksi.

“Orang tengah yang tidak ‘berat sebelah’ sepatutnya turut dibawa dalam rundingan dengan kami bukannya tentera Thailand seperti yang dicadangkan dalam garis panduan ini,” katanya dalam kenyataan.

Konflik selatan Thai dengan puak pemisah dan kerajaan telah meragut hampir 6,800 nyawa orang awam setakat ini sejak tahun 2004 dengan kedua-dua pihak didakwa melanggar hak asasi dan melakukan kekejaman.

BRN merupakan kumpulan pe­misah yang dipercayai melakukan hampir kesemua serangan keganasan walaupun sehingga hari ini mereka tidak pernah membuat kenyataan terbuka berhubung perkara itu.

Sebelum ini, terdapat rundi­ngan dan perbincangan yang dibuat dengan kumpulan pemisah Islam, Mara Patani di Kuala Lumpur.

Malah pada awal bulan Februari lepas, tentera Thailand mendakwa telah mencapai persetujuan dengan kumpulan pemisah Islam, Mara Patani bagi mewujudkan zon selamat di wilayah selatan negara ini walaupun para penganalisis meragui sama ada langkah itu akan berjaya tanpa persetujuan kumpulan pemisah lain.

Menurut penganalisa Kumpulan Krisis Antarabangsa Asia Tenggara yang berpangkalan di Brussels, Matthew Wheeler, BRN sedia ke meja rundingan ketika keadaan dianggapnya sesuai dan mempunyai kepentingan kepada mereka.

“BRN tidak menolak bulat-bulat rancangan pelan damai sebaliknya hanya meminta penglibatan pihak antarabangsa yang neutral ketika proses rundingan,” katanya.

BRN mengeluarkan kenyataan tersebut sejurus serangan bom di Selatan Thai beberapa hari lalu selepas Raja Maha Vajiralongkorn menandatangani undang-undang perlembagaan disokong tentera.

Perlembagaan baharu ini juga mengekang kuasa penggubal undang-undang sebaliknya memberikan kuasa mutlak kepada pihak tentera. – AFP