Kegagalan kumpulan berkenaan untuk bertindak positif kepada pelawaan dan saranan bagi menyertai meja perbincangan itu di­sahkan sendiri Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwan.

“Fasilitator Malaysia meng­hubungi sayap tentera BRN, sekurang-kurangnya tiga kali untuk membawa mereka menyer­tai perbincangan keamanan itu, tetapi mereka masih tidak menyertainya,” katanya yang juga Menteri Pertahanan di sini baru-baru ini.

Prawit yang bertanggungjawab bagi keselamatan dalaman Thailand bingung dengan alasan di sebalik tindakan kumpulan itu yang menolak tawaran untuk menyertai perbincangan keamanan.

Membawa sayap bersenjata BRN ke meja perbincangan itu adalah antara matlamat fasilitator Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim Noor, apabila beliau cuba untuk menyambung semula perbincangan keamanan itu mengikut jadual selepas lebih enam bulan dalam hibernasi.

Abdul Rahim dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi fasilitator baharu menggantikan Datuk Ahmad Zamzamin Hashim.

Bekas Ketua Polis Negara itu mahu memastikan perbinca­ngan keamanan yang diketuai Malaysia itu lebih inklusif kali ini, dengan menyenaraikan penglibatan ‘kumpulan satu lagi’ yang tidak menyertai pro­ses yang sedang berjalan antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (Mara Patani).

Bercakap kepada media di Bangkok bulan lepas ketika beliau mengiringi Dr. Mahathir semasa lawatan kerja pertamanya ke Thailand, Abdul Rahim melahirkan keyakinan bahawa sayap bersenjata BRN akan menjadi sebahagian daripada proses keamanan yang beliau cuba untuk laksanakan dengan Bangkok.

Sementara itu, satu sumber yang rapat kepada fasilitator Malaysia memberitahu Bernama bahawa usaha untuk mendapatkan penyertaan daripada sayap bersenjata BRN dalam perbincangan keamanan itu masih diteruskan meskipun gagal pada peringkat awal.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan (untuk dapatkan persetujuan daripada kumpulan tegar itu menyertai proses keamanan),” katanya. – BERNAMA