Seramai kira-kira 100 orang awam diberi peluang selama tiga minggu untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kende­raan yang dikawal komputer dan bergerak dengan kelajuan 16.1 ki­lometer sejam.

Syarikat Oxbotica yang membangunkan bas tersebut berkata, pihaknya masih menempatkan kakitangan terlatih dalam bas berkenaan untuk memberhentikan kenderaan itu jika diperlukan.

Menurut Ketua Eksekutif Oxbotica, Graeme Smith, kira-kira 5,000 orang telah memohon untuk menyertai perkhidmatan percubaan itu.

“Tidak ramai yang mempunyai pengalaman menaiki kenderaan tanpa pemandu dan kami memberi peluang kepada mereka untuk merasainya selain mengharapkan orang awam boleh menerima kenderaan sebegini dan memberikan maklum balas mereka,’’ kata beliau kepada BBC.

Bas berkenaan mempunyai empat tempat duduk dan tidak mempunyai stereng atau pedal brek.

Dalam tempoh percubaan ini, kenderaan ini dibantu oleh lima kamera dan tiga pemancar laser untuk menunjuk arah di laluan tepi sungai sepanjang 3.2 kilo­meter dekat Arena 02 di sini yang juga digunakan oleh pejalan kaki dan penunggang basikal.

Bas itu mempunyai jarak penglihatan kira-kira 100 meter di hadapan dan mampu berhenti pada jarak selamat jika mengesan halangan di laluannya selain boleh melakukan pemberhentian kecemasan jika diperlukan.

Menurut syarikat berkenaan, penumpang berbayar boleh menggunakan kenderaan berkenaan ketika tempoh percubaan menje­lang tahun 2019 selain dilaksanakan di beberapa kawasan lain.

Ini bukan kali pertama orang awam di Britain menyertai ujian percubaan kenderaan tanpa pemandu kerana baru-baru ini syarikat yang sama telah menjemput wartawan dan pengawal lalu lintas untuk mencuba kereta tanpa pemandu di Milton Keynes.