Siasatan oleh Jawatankuasa Stra­tegi Perniagaan, Tenaga dan Perindustrian akan melihat kesannya terhadap perniagaan Britain dan potensinya untuk produktiviti, pertumbuhan dan perindustrian.

Menurut Ahli Parlimen, Rachel Reeves, siasatan itu dibuat berikutan kebimbangan bahawa sehingga 30 peratus pekerjaan di Britain berisiko untuk digantikan dengan sistem robot pada 2030.

Satu persoalan yang akan turut dibincangkan adalah me­ngenai isu sama ada robot yang mengambil alih pekerjaan yang sedang dilakukan oleh manusia perlu dikenakan cukai.

Jurucakap Parlimen Britain memaklumkan, siasatan itu akan mempertimbangkan kesan automasi ke atas pekerja, manfaatnya dan pilihan untuk pengguna.

Siasatan automasi itu juga akan memeriksa nasihat dan sokongan kewangan yang tersedia untuk perniagaan mendapatkan sistem automasi selain bagi pekerja yang dipengaruhi oleh perubahan cara kerja akibat sistem itu.

“Memandangkan kesan signifikan yang mungkin berlaku ke atas pekerja pada masa akan datang, siasatan jawatankuasa juga mungkin melihat dasar dan tindakan yang diperlukan untuk membebaskan pekerja yang terjejas oleh automasi dan peranan perniagaan serta kerajaan dalam menyokongnya.

“Adalah penting bahawa kebanyakan pekerjaan dalam ekonomi harian seperti peruncitan atau kesihatan dan sosial, mendapatkan sokongan teknologi dan lain-lain yang mereka perlukan untuk meningkatkan produktiviti selain kualiti pekerjaan mereka,” jelas Reeves.

Beliau berkata, automasi boleh memberikan peluang kepada Britain untuk menstruktur se­mula, di mana mereka bersaing di peringkat antarabangsa de­ngan kualiti serta harga dan bukan perlumbaan tentang gaji, melalui pembangunan industri yang lebih cekap dan produktif.

Siasatan itu akan meneliti sa­ma ada automasi boleh membawa kepada reindustrialisation kerana pro­ses dan produk menjadi lebih murah dan mengkaji semula sektor yang paling berkemungkinan terjejas.

Siasatan tersebut juga melihat kumpulan pekerja paling berisiko dan akan membangkitkan persoalan sama ada kerajaan harus mengambil tindakan untuk menyokong mereka yang terjejas oleh automasi, seperti memper­kenalkan satu sistem dinamakan ‘cukai robot’. – BERNAMA