Seorang nela­yan Bangladesh, Suman Das berkata, dia menjum­pai seorang wanita yang ter­selamat dalam kejadian itu.

“Wanita itu menjerit me­min­ta tolong ketika kami sedang memancing di sungai itu. Dia memberitahu kami botnya telah karam kerana dikejar oleh bot laju tentera Myanmar.

Wanita itu juga berkata dia tidak tahu apa yang berlaku kepada mangsa lain,” katanya me­lalui panggilan telefon kepada AFP.

Dalam pada itu, agensi berita swasta UNB memetik ahli majlis kampung Bangladesh sebagai berkata, terdapat sekurang-kurangnya 31 orang berada di atas bot tersebut.

Sementara itu, satu sumber Rohingya memberitahu AFP melalui panggilan telefon berkata, 13 orang mayat termasuk kanak-kanak dan wanita, dua daripada mempunyai kesan tembakan telah terdampar di kampungnya di Naf.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Organisasi Antarabangsa untuk Pelarian (IOM) mendedahkan kira-kira 21,000 orang etnik Ro­hingya telah melarikan diri ke Banglaesh dalam beberapa minggu kebelakangan ini ekoran tercetusnya keganasan di Myanmar.

“Mereka semua tiba di daerah Cox Bazar antara 9 Oktober dan 2 Disember. Statistik itu diperoleh melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa,” kata Ketua IOM di Bangladesh, Sanjukta Sahany. – AFP