Imej yang dikeluarkan oleh Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) menunjukkan, bongkah ais itu berada dalam keadaan hampir terpisah berikutan keretakan besar pada landskap beku berkenaan sejak Oktober 2016.

Lapor portal Mirror, sebaik sahaja proses rekahan selesai, bongkah ais itu dijangka terpisah dari Pelantar Ais Shelf dan terapung di perairan Antartika.

Sejak rekahan itu dikesan, penyelidik memantau rapi kejadian itu menerusi rakaman imej satelit dan terbaharu NASA mengesan jurang antara bongkah terbabit semakin membesar.

Penyelidik bagaimanapun menganggap fenomena itu bukannya sesuatu yang luar biasa sebaliknya adalah kejadian semula jadi yang boleh berlaku secara kerap.

Susulan rekahan pertama yang juga dikenali sebagai retakan Halloween, stesen Penyelidikan Halley yang dikendalikan oleh Pusat Kajian Antartik British (BAC) terpaksa ditempatkan semula sejak akhir 2016.

Jurucakap BAC memberitahu, keselamatan kakitangan adalah agenda utama mereka, bagaimanapun mereka akan terus memantau pergerakan bongkah ais itu.

“Berdasarkan rakaman imej menggunakan peranti resolusi tinggi, kami mendapati berlaku pelebaran rekahan di kawasan itu sejak pertengahan Januari lalu, namun keadaannya masih belum serius,” katanya. – AGENSI