Jurucakap Kementerian Ke­sihatan, Waheed Majroh berkata, angka kematian berkemungkinan bakal meningkat kerana pihak berkuasa tempatan masih membawa mayat mangsa dan mereka yang cedera ke hospital.

Menurut saksi di tempat kejadian, banyak mayat bergelimpangan di kawasan insiden dan kepulan asap tebal naik ke udara selepas letupan itu berlaku.

Tambah mereka, terdapat juga penduduk tempatan cuba memasuki kawasan pemeriksaan keselamatan untuk mencari ahli keluarga tersayang.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri menyeru penduduk Kabul menderma darah mereka kerana kesemua hospital kini berdepan masalah kekurangan bekalan darah.

Setakat ini, tidak diketahui serangan berkenaan ditujukan kepada siapa dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang berlaku ketika kumpulan militan Taliban dikatakan bersiap sedia untuk me­lancarkan serangan tahunan mereka.

Dalam perkembangan sama, Kedutaan Jerman dan Perancis dalam kenyataan masing-masing berkata, bangunan mereka mengalami kerosakan teruk akibat letupan ber­kenaan.

Selain itu, Duta Khas India ke Afghanistan, Manpreet Vohra berkata, bom itu meletup kira-kira 100 meter dari Kedutaan India tetapi semua kakitangan selamat.

Badan Penyiaran British (BBC), bagaimanapun berkata, seorang pemandu berkhidmat dengan BBC Afghanistan maut manakala empat wartawannya cedera dalam kejadian itu. – AFP