BlackBerry mendakwa ketiga-tiga syarikat itu selaku defendan telah melanggar paten mesej penyulitan dan pemberitahuan selain menuntut ganti rugi akibat hilang keuntungan, namun jumlah tuntutan tidak dimaklumkan.

Facebook yang memiliki Instagram dan WhatsApp membe­ritahu akan mencabar saman yang dikemukakan itu.

Berdasarkan dokumen tuntutan itu, BlackBerry selaku plaintif mendakwa defendan telah mencipta aplikasi mesej telefon bimbit yang ditiru daripada inovasi BlackBerry.

Dakwa plaintif, defendan te­lah meniru sejumlah besar ke­selamatan inovatif, antara muka pengguna dan ciri-ciri penambahbaikan fungsi.

Litigasi terhadap pelanggaran paten dikatakan merupakan salah satu strategi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BlackBerry, John Chen untuk mendapatkan wang bagi syarikat berkenaan yang mengalami kerugian dalam pasaran telefon pintar yang pernah dikuasainya dahulu.

Namun, kata jurucakap BlackBerry, Sarah McKinney, tugas melindungi aset pemegang saham dan hak intelektual merupakan tugas setiap CEO selain mene­gaskan, litigasi bukanlah ‘keutamaan strategi BlackBerry’.

“Saman ini merupakan susu­lan rundingan sejak bertahun-tahun lalu malah BlackBerry mempunyai tanggungjawab kepada pemegang saham untuk meneruskan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Timbalan Ketua Peguam Facebook, Paul Grewal dalam kenya­taannya memberi­tahu, saman yang dikemukakan BlackBerry menunjukkan situasi perniagaan yang dihadapinya sekarang.

“BlackBerry tidak berusaha untuk melaksanakan inovasi sebalik­nya menggunakan inovasi pihak lain untuk meraih keuntungan. Kami tidak akan mengalah,” katanya yang dilaporkan portal Daily Mail.

BlackBerry Messenger atau di­ke­nali sebagai BBM merupakan perkhidmatan mesej segera internet yang dilancarkan pada 2005.

Penggunaan BBM amat popular ketika dekad berkenaan, namun semakin ketinggalan kepada pesaingnya, WhatsApp dan Facebook Messenger.