"Saya tidak menjangka pendedahan kes yang sebegitu banyak," kata Biskop Bavaria Ludwig Schick yang mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua gereja di Vierzehnheiligen, kepada Radio Bayerischer Rundfunk.

Katanya, beliau terkejut dan malu dengan apa yang telah berlaku di dalam gereja.

"Ia sangat pahit dan sukar diterima, namun kita perlu berdepan dengannya.

"Luka yang bernanah ini perlu didedah supaya ia dapat disembuhkan," katanya.

Di Bavaria sahaja, lebih 100 bekas pelajar institusi Katolik tampil mendakwa mereka pernah didera secara fizikal atau seksual.

Segelintir daripada kes tersebut melibatkan koir pelajar lelaki terkenal Regensburg Domspatzen yang diketuai abang Pope, Rev. Georg Ratzinger.

Sementara itu di Ireland, Ketua Biskop Dublin Diarmuid Martin semalam berkata, beliau mahu rakan-rakan Katoliknya di Ireland supaya memberitahu 'kebenaran sepenuhnya' tentang tindakan mereka yang menyembunyikan kes penderaan kanak-kanak selama berdekad-dekad oleh golongan paderi, atau kerajaan Ireland akan meluaskan siasatan mereka sendiri.

Martin yang juga ketua Katolik kedua tertinggi di Ireland, menuntut kejujuran serta sikap berterus-terang berhubung keengganan gereja tersebut memberitahu polis tentang paderi-paderi pedophile yang dipindahkan dari satu gereja ke satu gereja dan ke sekolah-sekolah.

Beliau bagaimanapun enggan mendesak peletakan jawatan ketuanya, Kardinal Sean Brady yang mengakui dirinya tidak memberitahu polis mengenai keterangan mangsa yang dikumpulkan terhadap paderi Brendan Smyt pada 1975. - AP