Setakat ini, tiga rakyat Israel maut ditikam manakala tiga rakyat Palestin terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Israel.

Kejadian ini dikhuatiri akan mencetus semula intifada atau kebangkitan kali kedua rakyat Pa­lestin selepas berlaku kali pertama pada tahun 2000 apabila pe­mimpin pembangkang Israel Ariel Sharon melawat perkarangan kawasan suci ini.

Intifada sebelum ini berlangsung selama le­bih empat tahun.

Dalam perkemba­ngan yang sama, kerajaan Pa­lestin telah membekukan semua bentuk hubungan dengan Israel sebagai bantahan terhadap apa yang berlaku.

Menurut Al-Jazeera, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu ucapan ringkas menerusi siaran televisyen semalam berkata: “Saya mengisytiharkan penggantungan ini sehingga mereka membatalkan peraturan baharu itu serta mengekalkan status quo (kembali kepada asal).

Sementara itu, wakil Al-Jazeera, Harry Fawcet yang melaporkan dari Baitulmaqdis Timur membe­rita­hu, tindakan Abbas itu secara tidak langsung membawa kesan yang besar.

“Matlamatnya ialah untuk menghentikan kerjasama keselamatan yang dimahukan oleh sebahagian besar rak­yat Palestin ketika ini.

“Apa yang dilakukan Abbas ini sebenarnya salah satu cara untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya tidak memasang alat pengesan logam yang menjadi punca kepada tercetusnya tunjuk perasaan ini,” katanya.

Beberapa pemimpin Islam sebelum ini mendakwa alat pengesan logam itu merupakan sebahagian daripada usaha Israel untuk meluaskan kawalan mereka di kawasan yang menjadi pertikaian itu.

Israel bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, tiga sekeluarga warga Israel maut ditikam penduduk Palestin yang memecah masuk ke dalam rumah mereka di pe­nempatan Yahudi di Tebing Barat, kata tentera Israel.

Serangan di Neve Tsuf, utara Ramallah itu berlaku selepas pertempuran yang tercetus sejak beberapa hari antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera rejim Zionis sebagai membantah pelaksanaan langkah keselamatan yang baharu itu. – AGENSI/AFP