Kerajaan Belanda juga mahu jaminan bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di Donetsk, dihukum selepas kesemua 298 krew dan penumpang, kebanyakannya rakyat Belanda, terbunuh dalam tragedi tersebut.

Kebimbangan tersebut disuarakan dalam sidang Parlimen Belanda selepas perjanjian gencatan senjata tersebut tidak secara jelas menyatakan tentang nahas pesawat MH17 dan anggota Parlimen mahu dokumen perjanjian itu diperjelaskan.

Antara isi perjanjian yang dicapai di Minsk, Belgium adalah memberi pengampunan dan kemaafan dengan menggubal rang undang-undang yang melarang hukuman dikenakan terhadap individu yang terbabit dalam sejumlah kejadian di beberapa kawasan tertentu di Donetsk dan Luhansk.

Menurut laporan portal berita NLTimes, perjanjian itu turut menetapkan syarat bahawa semua tebusan perlu dibebaskan dan ditukarkan, dengan segera.

“Kami mahu kepastian berhubung kaitan perjanjian gencatan senjata itu dengan siasatan berhubung insiden MH17 memandangkan Ukraine terlibat dalam perjanjian gencatan senjata di Minsk dan ahli Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang ditugaskan menyiasat serangan pesawat MAS pada tahun lalu,” kata seorang anggota Parlimen, Pieter Omtzigt.

Menteri Luar Belanda, Bert Koenders dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan mengkaji perjanjian gencatan senjata yang dicapai tersebut bagi memastikan pihak yang terlibat dalam insiden MH17 dibawa ke muka pengadilan.

Ahli keluarga dan waris mangsa tragedi tersebut turut menyuarakan kebimbangan sama terhadap keputusan rundingan empat penjuru antara Rusia, Ukraine, Perancis dan Jerman yang menyaksikan kumpulan pemberontak dan tentera kerajaan memulakan gencatan senjata berkuatkuasa 15 Februari ini.

Dalam surat yang dihantar kepada Koenders, waris mangsa berkata, mereka bimbang pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian 17 Julai tahun lalu akan terlepas daripada dikenakan hukuman.

“Perjanjian itu dicapai tanpa memasukkan syarat bahawa dalang yang terlibat dalam insiden MH17 perlu dikenalpasti, dibicarakan dan dihukum.

“Adakah perjanjian itu cuba menutupi tragedi tersebut,” jelas isi kandungan surat berkenaan.

Kiev dan sekutunya dari Barat menuduh puak pemberontak pro-Rusia di Donetsk menembak jatuh pesawat terbabit menggunakan sistem pertahanan darat ke udara, BUK, tetapi Moscow menafikan tuduhan itu sambil mendakwa pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh oleh pesawat tempur Ukraine.