Di Amerika Syarikat (AS), cef masakan terpaksa ‘menyeludup’ masuk biji tonka ke negara ini dan mempunyai ‘kaki’ yang me­lakukan tugas itu.

Biji tonka berbentuk bujur, ber­selaput warna hitam dan ber­kedut, mengeluarkan bau harum dan diambil daripada pokok besar tonka yang hidup liar dalam hutan rimba Amazon.

“Bahan itu digelar sebagai bahan masakan yang paling lazat yang tidak pernah didengar sebelum ini namun penggunaan yang berlebihan boleh mengundang maut,” kata ketua cef pastri, Thomas Raquel.

Penjualan biji tonka untuk dimakan diharamkan di AS sejak 1954 manakala makanan yang mengandungi bahan itu disifatkan sebagai tercemar.

AS sebenarnya merupakan pe­ngimport terbesar biji tonka di dunia, lapor portal BBC.

Biji tonka lazimnya mempu­nyai kandungan bahan kimia koumarin yang tinggi dan mengeluarkan perisa namun perisa itu boleh ditemukan pada beratus-ratus tumbuhan termasuk rumput, la­vender dan ceri.

Ia digunakan secara meluas bagi menggantikan perisa vanila dan dicampur ke dalam coklat, gula-gula dan esen vanila terma­suk minuman ringan.

Koumarin buat pertama kali­nya diasingkan daripada biji tonka pada 1820 manakala perkataan itu berasal dari bahasa Carribean ‘coumarou’ iaitu pokok tonka.

Sekitar 1940-an, koumarin ti­ruan menjadi popular dan merupakan antara bahan pengawet sintetik yang pertama di dunia.

Walau bagaimanapun timbul masalah apabila kajian yang dilakukan terhadap anjing dan tikus menunjukkan ia bertoksid.

Penggunaan yang se­dikit boleh menyebabkan kerosakan hati da­lam tempoh beberapa minggu sahaja malah dengan hanya lima gram atau dua sudu kecil bahan itu boleh membawa maut.