Kejadian malang itu berlaku ketika Mohammad Guddu, 24, yang baru bekerja selama 15 hari di kawasan tersebut sedang membancuh simen apabila besi tersebut jatuh lalu menembusi bahagian belakang kepalanya.

Bagaimanapun dia bernasib baik apabila doktor di sebuah hospital kerajaan bertindak pantas dengan membelah tengkorak kepalanya untuk mengeluarkan besi berkenaan.

Pembedahan tersebut agak rumit, namun Mohammad Guddu bernasib baik kerana besi ber­kenaan tidak menembusi bahagian penting otaknya.

Dr. Batuk Diyora yang menge­tuai pembedahan tersebut berkata, bahagian tersebut merupakan kawasan kognitif yang sukar dilihat serta menempatkan fungsi motor dan deria.

Katanya, kecederaan itu bagaimanapun tidak merosakkan arteri yang membawa darah ke otak.

Tambah beliau, sistem otak mangsa tidak rosak dan arteri yang membawa darah juga terselamat.

“Kes ini boleh disifatkan sebagai ajaib kerana mangsa terselamat daripada kecederaan sedemikian,” kata Dr. Diyora.

Menurut Mail Online, Mohammad Guddu kini beransur pulih walaupun lumpuh di bahagian kiri badannya, namun para doktor percaya mangsa akan sihat sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

Sementara itu rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian tersebut berkata, mereka bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan Mohammad Guddu dan terkejut melihat keadaannya.

Namun, mangsa masih sedar dan meminta pertolongan walaupun batang besi itu terpacak di atas kepalanya.