Kenapa tidak, sebelum keputusan itu dimuktamadkan awal pagi hari Khamis lalu (waktu Malaysia), pelbagai pihak telah menyatakan bantahan terhadap rancangan itu.

Selain memberi peng­-
iktirafan tersebut, Trump juga mengeluarkan ara­han supaya pejabat Ke­dutaan AS dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis tidak lama lagi.

Mengapa pemimpin itu berani ‘menentang arus’ atau melakukan sesuatu yang tidak pernah ‘di­sentuh’ oleh mana-mana Pre­siden AS terdahulu selama hampir tujuh dekad sebelum ini?

Mungkin Trump seorang pe­mimpin yang berani dan sentiasa berpegang pada janji walaupun keberaniannya dilihat ‘kurang cerdik’ kerana ia membangkitkan kemarahan umat Islam dan dunia.

Bahkan, isu Baitulmuqaddis ini dibimbangi menjadi alasan bagi militan Daesh mendapatkan sokongan yang lebih besar.

Di sebalik tindakan melampau Trump, ada dalam kalangan penganalisis berpendapat, AS sebenarnya telah lama menantikan saat yang sesuai untuk berbuat demikian.

Menurut mereka, suka atau tidak, sekarang adalah masa yang ‘terbaik’ untuk ‘mengocak ketenangan umat Islam’ ketika mana perpaduan dalam kalangan negara-negara Arab yang sebelum ini dilihat mempertahankan Palestin kini semakin lemah.

Bermula dengan konflik dalaman iaitu ‘serangan’ terhadap Qatar yang di­dakwa membiayai kegiatan pengganas, konflik di Syria, perbalahan antara Arab Saudi-Ye­­men, kemelut politik di Mesir dan sebagainya, semua faktor ini jelas menunjukkan betapa lemahnya perpaduan dalam kalangan negara-negara Arab.

Pada masa yang sama, ada juga melihat pengisytiharan ‘berdarah’ itu seperti mahu menutup skandal rasuah yang dihadapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hingga menimbulkan kemarahan rakyatnya sendiri.

Mengapa pula kota lama seperti Baitulmuqaddis menjadi sasaran?

Umum mengetahui Baitulmuqaddis mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana menjadi tempat suci bagi tiga agama berbeza iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

Bagi umat Islam, Baitulmuqaddis menempatkan Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama dan juga mempunyai hubungan yang istimewa dengan para nabi dan rasul termasuk junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

Bukan sahaja dari segi sejarah tetapi prinsip undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini sendiri mengatakan bahawa Israel perlu menamatkan pendudukan mereka di Baitulmuqaddis dan status bandar itu tidak boleh diubah secara unilateral oleh mana-mana negara dunia termasuk Amerika Syarikat.

Tindakan supaya Baitulmuqaddis dijadikan milik penuh Israel kerana ‘negara haram’ itu mempunyai hak untuk menentukan ibu negaranya sendiri terlalu sukar untuk diterima.

Biar apapun natijah tindakan Trump ini, apa yang pasti, tindakan ‘tergesa-gesa’ untuk memenuhi kehendak pemimpin Yahudi di AS, bekas ahli perniagaan telah merencatkan usaha untuk mengadakan rundingan damai antara Palestin dan Israel.

Selain isu penempatan haram Israel di Palestin, isu Baitulmuqaddis memberikan implikasi yang tidak kurang besarnya.

Selain itu, secara sedar atau tidak, tindakan Trump sebenar­nya turut memberikan tekanan kepada menantunya, Jared Kushner serta bekas peguam, Jason Greenblatt yang bertindak sebagai wakil AS dalam proses rundingan damai terbabit.

Mungkin harapan untuk melihat pengisytiharan itu ditarik balik sudah terlambat, bantahan dan seruan intifadah yang dilakukan ketika ini sedikit sebanyak memberikan peringatan kepada AS dan Israel, nasib Palestin tidak boleh diperlekehkan.

Jika Bolivia, Perancis, Itali, Sweden, United Kingdom (UK) dan Uruguay boleh ‘bersatu’ dengan dua buah lagi negara Islam iaitu Mesir dan Senegal untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu itu, masakan lebih 1.8 bilion penduduk Islam dunia yang lain ketika ini tidak boleh berbuat demikian.

Apa yang jelas, inilah wake-up call atau isyarat yang sepatutnya ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia untuk kembali bersatu dalam mempertahankan kota suci tersebut.