Para pengguna tersebut menggunakan peranti penstriman haram (ISD) yang dijual secara haram dan murah di pasaran serta mereka tidak perlu membayar yuran langganan sekiranya mahu menonton siaran eksklusif.

Persatuan yang mengendalikan televisyen digital berbagai siaran, CASBAA memuji usaha polis Malaysia dan Thailand yang membanteras pengendali rangkaian ISD di negara masing-masing.

“Sindiket tersebut telah menipu ramai pengguna dengan memberi jaminan bahawa perkhidmatan mereka adalah sah. Sebenarnya tidak.

“Dan sesiapa yang membeli peranti tersebut, mereka sebenarnya berdepan risiko kerugian wang tanpa diberi amaran bila perkhidmatan itu akan disekat,” kata Ketua Pegawai Dasar CASBAA, John Medeiros.

Selepas serbuan dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand, kira-kira 50,000 pengguna di Singapura, Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan beberapa negara lain telah disekat.

Tindakan penguatkuasaan itu membawa kepada penangkapan dua orang warga Britain dan seorang rakyat Thailand selain rampasan sejumlah besar peralatan yang digunakan suspek.

Di Malaysia, polis menganggarkan 30,000 pengguna menerima perkhidmatan berkenaan daripada sindiket haram yang menyalurkan rancangan eksklusif secara haram daripada saluran berbayar Astro.

Enam lelaki telah ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Johor. - UTUSAN ONLINE