Lapor BBC.com, memetik laporan berkenaan, seramai 560 orang cedera dalam serangan berkenaan termasuk 43 kanak-kanak.

Tiga perempat daripada jumlah serangan disasarkan terhadap pendatang di luar petempatan mereka, manakala hampir 1,000 serangan dilakukan di dalam kawasan perumahan.

Keputusan Canselor Jerman, Angela Merkel untuk menerima kemasukan pendatang yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan, telah mempengaruhi masyarakat negara ini dan meningkatkan jenayah kebencian.

Jerman juga dilihat ‘bergelut’ dengan permohonan pencari suaka yang tertunggak dan wujud kebimbangan berkenaan tahap keselamatan di negara itu selepas beberapa siri serangan keganasan berlaku di Eropah.

Isu berhubung pendatang asing dijangka menjadi topik utama menjelang pilihan raya Parlimen pada bulan September ini.

Kementerian Dalam Ne­geri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, mereka mengutuk sekeras-kerasnya ke­ganasan yang dilakukan terhadap pendatang.

“Mereka yang melarikan diri dari negara asal dan mencari perlindungan di Jerman berhak mendapat tempat berlindung,” kata ke­nyataan tersebut.

Seramai 280,000 pencari suaka tiba di Jerman pada tahun lalu, berkurangan sebanyak 600,000 berbanding pada tahun 2015 berikutan penutupan laluan pendatang Balkan dan perjanjian dime­terai Kesatuan Eropah dengan Turki.