Kenyataan itu disuarakan Timbalan Ketua Pertahanannya, Myint Nwe ketika berucap dalam satu forum keselamatan di sini.

Nwe berkata, pihaknya tidak akan membiarkan hak asasi orang awam yang tidak bersalah dicabul dengan sewenang-wenangnya.

“Dalam hal ini, tindakan undang-undang akan diambil jika dakwaan yang dikemukakan adalah berasas,” katanya yang juga pegawai tinggi Tentera Laut Myanmar.

Tambah Nwe, pihaknya menyedari terdapat pertambahan laporan berhubung situasi semasa di Rakhine dan menyatakan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu tersebut serta mengheret pesalah ke muka pengadilan.

Kenyataan Nwe dibuat sebagai maklum balas terhadap ucap tama Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam forum yang sama anjuran Institut Antarabangsa untuk Pengajian Strategik.

Hishammuddin memberi amaran bahawa krisis Ro­hingya di Rakhine perlu diatasi segera bagi mengelak daripada dieksploitasi oleh kumpulan pengganas Daesh yang sedang mencari ruang untuk bertapak di Asia Tenggara.

“Kemungkinan yang menakutkan ini berpotensi menyebabkan kematian serta kemusnahan di luar sempadan negara-negara ASEAN,” kata Hishammuddin.

Dalam pada itu, Nwe mahu masyarakat antarabangsa bekerjasama dengan Yangon bagi mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu terbabit.

“Memberikan masa dan ruang adalah penting bagi memboleh­kan sesebuah kerajaan itu mencari penyelesaian lebih mampan dalam isu yang kompleks seperti ini,” katanya. – AFP