Transparency-International yang berpusat di Berlin, Jerman dalam kajiannya mendakwa, penduduk berkenaan juga terpaksa berbuat demikian sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

India dan Vietnam menduduki tangga teratas dalam jumlah kes jenayah rasuah dengan dua pertiga daripada responden berkata, mereka terpaksa berbuat demikian supaya mudah mendapat perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan awam.

Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Australia dilaporkan mempunyai kadar jenayah rasuah yang paling rendah.

Kajian itu juga mendapati anggota polis merupakan kumpulan yang paling ramai meminta wang sogokan dan golongan miskin merupakan sasaran utama kegiatan rasuah itu dengan 38 peratus responden berkata mereka terpaksa memberi rasuah.

Walaupun golongan miskin merupakan sasaran utama di Thailand, India dan Pakistan tetapi perkara sebaliknya berlaku di Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

Pengerusi Transparency International, Jose Ugaz menggesa kerajaan negara-negara yang terlibat supaya berusaha lebih dalam memerangi rasuah.

“Rasuah bukan jenayah kecil kerana ia merampas makanan di atas meja, menghalang pendidikan, menyekat penjagaan kesihatan yang sempurna dan akhirnya boleh membunuh,’’ ujarnya dalam kenyataannya di sini.

Kajian itu adalah hasil kaji selidik oleh agensi berkenaan melibatkan lebih 20,000 penduduk di 16 buah negara yang meliputi rantau Asia Pasifik dari Pakistan sehingga Australia.

Skandal rasuah telah meng­ge­gar­kan beberapa buah kerajaan di Asia sejak beberapa tahun lalu dan menjadi tajuk utama akhbar selain mencetuskan bantahan besar-besaran.

Pada bulan Disember lalu, Pre­siden Korea Selatan, Park Geun-hye terpalit dengan beberapa skandal rasuah besar yang me­nyaksikan jutaan rakyatnya me­lancarkan tunjuk perasaan me­nuntut beliau meletak jawatan.

Pada tahun lalu, satu laporan yang dikeluarkan badan pemantau rasuah turut memperincikan kekayaan yang dimiliki oleh keluarga dan rakan-rakan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Dalam pada itu, China yang melancarkan operasi anti-rasuah, telah berjaya menahan lebih sejuta pegawainya manakala Vietnam memenjarakan sejumlah besar bekas ahli perniagaan yang terlibat dalam rasuah. – AFP