Pemimpin asing melahirkan kebimbangan mereka dalam per­tikaian itu yang menyaksi­kan Qatar berdepan sekatan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir yang mendapat sokongan Presi­den Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump.

Mereka menuduh Qatar menyokong seteru utama mereka di rantau itu, Iran selain menyokong kumpulan pengganas dengan perseteruan terbabit memaksa Kuwait mengetuai usaha damai sebelum keempat-empat negara terbabit terus memberi tekanan ke atas Doha dengan meletakkan puluhan individu ada kaitan dengan Qatar dalam senarai hitam keganasan.

Seorang pegawai kanan kerajaan UAE memburukkan permusuhan itu semalam, menggelar Qatar sebagai ‘bermuka-muka’, dakwaan yang dibuat dalam beberapa tweet dengan mendakwa Doha membiayai kumpulan militan yang mencetuskan huru-hara dan keganasan di seluruh rantau ini.

“Qatar sedang menunggang harimau pelampau dan keganasan yang memberi kesan yang terlalu tinggi kepada rantau ini dan dunia.

“Proses diplomasi merupakan langkah ke hadapan, proses yang hanya akan berjaya sekiranya Qatar akan berhenti menyokong dan membiayai ekstremisme dan keganasan,” tulis Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash dalam tweet beliau.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani kemudian membalas dakwaan liar Gargash selepas mengadakan pertemuan de­ngan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov.

“Qatar dituduh mempunyai hubungan tersembunyi dengan Iran namun hubungan dengan Tehran adalah jelas, telus dan utuh,” kata Sheikh Mohammed sambil mendakwa UAE berdagang lebih banyak dengan Iran berbanding Qatar.

Menteri Luar itu pada masa sama menafikan sokongan Doha ke atas pergerakan Ikhwanul Muslimin dan Hamas selain menepis laporan media Arab Saudi yang dianggapnya sebagai fantasi.

Ini selepas Sheikh Mohammed didakwa mengadakan pertemuan dengan ketua Tentera Quds Iran di Baghdad yang dikuasai Pengawal Revolusi Iran.

Tidak cukup dengan ‘pertikaian lidah’ antara Gargash dan Sheikh Mohammed, konflik antara Qatar dan negara-negara Teluk terus diburukkan lagi dengan dakwaan Arab Saudi menghalang rakyat Qatar daripada memasuki Masjidilharam di Mekah.

Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Nasional Qatar (NHRC) mendakwa menerima aduan daripada rakyat Qatar bahawa jemaah umrah dari negara itu dilarang daripada memasuki Masjidilharam.

Ketua NHRC, Ali Smaikh al-Marri sebagaimana lapor Al-Jazeera menyifatkan insiden itu adalah satu pencabulan terang-terangan hak untuk beribadat seperti yang dibenarkan oleh konvensyen hak asasi manusia.

NHRC kata Ali mengecam kejadian itu, memandangkan langkah pencabulan hak untuk melakukan aktiviti agama dijamin oleh konvensyen hak asasi manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negara Qatar dalam satu kenyataan menegaskan di sebalik krisis diplomatik antara negara itu dan negara Teluk yang lain, warganegara yang memutuskan hubungan Doha masih boleh kekal tinggal di negara berkenaan.

Katanya, tidak ada perubahan dalam da­sar negara itu ke arah menjadi sebuah negara yang mesra dan bersaudara termasuk memutuskan hubungan diplomatik ekoran kempen ‘jahat’ terhadap Qatar.

Sementara itu, Iran dilapor menghantar empat pesawat kargo yang membawa makanan ke Qatar dan merancang untuk menyediakan 100 tan buah-buahan dan sayur-sayuran ke negara itu pada setiap hari di tengah-tengah kebimbangan Doha kehabisan bekalan makanan.

Qatar telah berunding de­ngan Iran dan Turki bagi mendapatkan bekalan makanan dan air selepas Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain mengenakan sekatan laluan masuk ke negara terbabit. – AGENSI