Bagaimanapun menurut penduduk, ada di antara mereka itu ditembak mati oleh pasukan ke­selamatan Myanmar ketika mereka cuba menyeberangi Sungai Naaf yang memisahkan negara berkenaan dengan Bangladesh, semalam.

Lebih malang lagi, kira-kira 80 penduduk yang cuba memasuki sempadan Bangladesh dengan bot, dihalau oleh pasukan pengawal sempadan Bangladesh dan mereka kini dipercayai terkandas di laut.

Pegawai pemerintah Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) sektor Cox’s Bazar di timur Bangladesh, Leftenan Kolonel Anwarul Azim berkata, pagi kelmarin, sebanyak 86 etnik Rohingya termasuk 40 wanita dan 25 orang kanak-kanak diusir dari pintu sempadan Teknaf selepas cuba memasuki Bangladesh menggunakan dua buah bot.

“Kami telah meningkatkan kawalan dan menambah bilangan anggota bagi memastikan keselamatan sempadan,” katanya.

Menurut sumber, kumpulan Rohingya itu dipercayai tidak akan kembali kampung mereka di Myanmar dan mungkin terkandas di laut.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Sempadan Rakhine, Kolonel Htain Lin enggan mengulas berhubung situasi itu.

Jurucakap polis daerah Maungdaw, Kyaw Mya Win pula mendakwa, penduduk kampung me­larikan diri kerana mereka cuba menyerang tentera Myanmar sambil mendakwa kaum wanita juga telah menjadi pemberontak.

Kakitangan agensi bantuan, penghuni kem pelarian dan pihak berkuasa Bangladesh menganggarkan kira-kira 500 penduduk Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar sejak serangan etnik Rohingya ke atas polis sempadan yang menyebabkan sembilan orang anggota terbunuh, 9 Oktober lalu.

Menurut agensi berita Reuters, sejak peningkatan keganasan itu, kira-kira 102 orang etnik Rohingya terbunuh manakala angka korban melibatkan anggota pasukan keselamatan Myanmar kekal kepada 32 orang.

Sementara itu, empat penduduk Rohingya yang dihubungi agensi berita itu semalam mengesahkan beratus-ratus penduduk cuba melarikan diri dan menyeberangi sungai ke Bangladesh dengan ada antara mereka ditembak mati berhampiran tebing sungai seramai hampir 72 orang.

Seorang lagi penduduk di Maungdaw ketika dihubungi berkata, wanita dan kanak-kanak dari 10 buah kampung cuba me­larikan diri ke Bangladesh tetapi ada di antara mereka ditembak ketika cuba menaiki bot sehingga menyebabkan banyak mayat terapung di laut.

Dalam perkembangan lain, Myan­mar menyenarai hitam seorang jurugambar terkemuka Amerika Syarikat (AS), Greg Constantine daripada memasuki negara itu dipercayai kerana membukukan kisah kehidupan Rohingya. – REUTERS