Pintu 2017 dibuka dengan peris­tiwa seorang bilionair dan ahli perniagaan terkenal dunia, Do­nald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, menggantikan Barack Obama.

Sejak mula mentadbir AS, kepemimpinan Trump disifatkan lebih drastik apabila meng­umumkan negara itu menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), memansuhkan program penjagaan kesihatan Obamacare dan menandatangani arahan yang me­ngenakan sekatan kepada pelancong Islam daripada tujuh negara yang didakwa boleh beri ancaman keganasan.

Di sebalik cerita Trump, tahun 2017 ‘diserikan’ dengan kontroversi baharu apabila Korea Utara yang terkenal dengan program senjata nuklearnya melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun, sekali gus mencetuskan kebimbangan serantau terutamanya AS yang menganggap situasi itu sebagai satu provokasi peperangan.

Sehubungan itu, AS mula menyuarakan ‘hasrat’ mengenakan tindakan tegas terhadap Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un, malah pemimpin kedua-dua negara saling ‘mengejek’ antara satu sama lain dengan gelaran ‘si gila‘ dan ‘si gemuk pendek’.

Namun, di sebalik tekanan dunia termasuk pelbagai sekatan yang dikenakan, Korea Utara dilihat masih meneruskan program senjata nuklearnya malah boleh dikatakan seperti makin berkembang dan cita-cita negara itu untuk menjadi kuasa nuklear mungkin jadi kenyataan tidak lama lagi.

Tahun lepas turut menyaksikan beberapa lokasi utama dunia seperti London dan New York menjadi sasaran serangan pengganas dan kebanyakannya masih bersifat skeptikal apabila dikaitkan dengan Islam.

Sekurang-kurangnya 30 orang maut dirempuh sebuah kende­raan di London dan 22 terbunuh dalam serangan keganasan ketika konsert penyanyi terkenal, Ariana Grande berlangsung di Manchester, manakala seramai 16 orang terbunuh manakala 120 lagi cedera akibat dirempuh sebuah van dalam satu insiden di Las Ramblas, Barcelona, Sepanyol pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, tidak ketinggalan juga cerita-cerita dunia hiburan yang turut mewarnai dunia pada 2017.

Pada 20 Julai lalu, penyanyi utama kumpulan Linkin Park, Chester Bennington mengejutkan semua peminatnya apabila dia dilaporkan meninggal dunia pada usia 41 tahun dan punca kematiannya didakwa akibat membunuh diri.

Selepas itu, vokalis utama kumpulan SHINee, Jong-hyun pula dilaporkan meninggal dunia di hospital di Seoul pada 18 Disember lalu setelah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya dan sebelum itu kakaknya membuat laporan polis kerana mengesyaki adiknya yang berusia 27 tahun itu akan membunuh diri.

Kemuncak 2017 tiba dengan peristiwa yang cukup menyedihkan komuniti dunia apabila me­nyaksikan kira-kira 600,000 penduduk etnik Rohingya me­larikan diri dari Myanmar untuk masuk ke Bangladesh selepas tentera negara itu didakwa melakukan keganasan secara besar-besaran.

Penderitaan etnik Rohingya ternyata mendapat perhatian dunia bahkan bantuan demi bantuan disalurkan untuk meri­ngankan beban kumpulan minoriti berkenaan dan pujian besar harus diberikan kepada Bangladesh yang sanggup melindungi etnik tersebut dengan memberikan bantuan perlindungan sementara.

Isu itu secara tidak langsung membuatkan dunia mengkritik hebat pemimpin Myanmar iaitu pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi kerana beliau gagal membela serta melindungi etnik Rohingya daripada ditindas kejam, menyaksikan banyak anugerah yang diberikan kepadanya ditarik semula.

Selain itu, Arab Saudi meme­cahkan tradisi apabila mengumumkan bahawa golo­ngan wa­nita di negara itu boleh memandu kenderaan buat pertama kali mulai Jun tahun ini, sekali gus menjadi negara terakhir di dunia yang berbuat sebegitu.

Beberapa bencana alam turut melakar perjalanan 2017 apabila menyaksikan lebih 300 orang terbunuh dalam gempa bumi sekuat 7.1 pada skala Richter di Mexico dan lebih 500 pula maut di Iraq apabila gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter melanda wilayah Halabjal yang bersempadan dengan Iran.

Menjelang akhir 2017, beberapa peristiwa penting menggemparkan dunia termasuk Perdana Menteri Lebanon, Saad Hariri mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut ketika me­ngadakan kunjungan ke Riyadh, Arab saudi pada 4 November lalu dan situasi sama turut berlaku di Zimbabwe, menyaksikan Pre­siden Robert Mugabe meletak jawatan selepas berkuasa selama 37 tahun.

Di sebalik kisah-kisah krisis politik, bencana alam dan sera­ngan pengganas, adik pewaris kedua takhta Britain, Putera Harry mengumumkan kisah cinta­nya dengan wanita pilihan yang juga aktres iaitu Meghan Markle dan mereka dijangka berkahwin pada Mei ini.

Seperti dijangka, bulan ter­akhir 2017 iaitu Disember me­nyaksikan nama Trump sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila mengisytiharkan keputusan yang paling tidak diingini oleh semua penduduk Islam ia­itu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, sekali gus menutup usaha rundingan damai antara Palestin dan Israel yang dilakukan selama ini.

Sejak daripada itu, sehingga kini pelbagai pihak menentang keputusan berkenaan, selain 128 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk menolak pengisytiharan itu, malah tunjuk pe­rasaan berterusan turut berlaku di beberapa wilayah di Palestin.

Setiap kedatangan tahun ba­haru pasti diiringi azam, kehendak, rancangan serta cabaran yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini dan moga 2018 menyaksikan dunia menjadi tempat yang lebih baik untuk semua lapisan masyarakat tanpa me­ngira kaum, bangsa dan agama.