BBC melaporkan, perkara itu didedahkan saintis dari Universiti Cambridge melalui kajian terhadap ulat beluncas yang mampu memakan plastik dalam tempoh sejam.

Setiap tahun, kira-kira 80 juta tan plastik polyethylene dihasilkan seluruh dunia.

Bagaimanapun, ulat beluncas jenis ‘Galleria Mellonella’ merupakan spesies yang dapat menyelesaikan masalah terbabit.

Penyelidik Universiti Cambridge, Dr. Paolo Bombelli berkata, ulat beluncas merupakan permulaan bagi kajian alternatif pencemaran plastik yang ‘menghantui’ dunia ketika ini.

“Ulat beluncas akan menjadi titik permulaan. Kita perlu memahami bagaimana proses ini ber­operasi. Kami berharap dapat menyediakan penyelesaian teknikal untuk mengurangkan masalah sisa plastik,” katanya.

Jelas Bombelli, jika proses kimia dapat dikenal pasti dengan mudah, perkara itu boleh membawa kepada penyelesaian pengurusan sisa plastik.

“Kita akan berusaha ke arah penyelesaian menyelamatkan alam sekitar daripada kesan pencemaran plastik,” jelasnya.

Plastik konvensional dan polisterina diperbuat daripada bahan ber­asaskan petroleum yang tidak hancur atau reput tanpa tindakan kimia.

Plastik berkenaan mengambil masa yang panjang untuk terurai jika ‘dilonggokkan’ di tapak pelupusan sampah selain menghasilkan asap hitam jika dibakar.