Menurut portal berita BBC, Trump akan bertemu Perdana Menteri Britain, Theresa May di 10 Downing Street pada 13 Julai ini.

Belon berisi gas helium setinggi enam meter itu mencerminkan watak Trump sebagai bayi yang sedang marah dengan ego rapuh dan tangan yang kecil.

Aktivis berjaya mengutip dana hampir 18,000 pound (RM96,250) untuk menghasilkan belon itu dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan telah memberi kebenaran untuk menerbangkan belon ber­kenaan.

Di laman Twitter, bekas pe­mim­pin Parti Bebas United Kingdon (UKIP), Nigel Farage berkata, rancangan itu adalah penghinaan terbesar pernah dilakukan kepada Presiden AS yang sedang berkhidmat.

Di bawah rancangan tersebut, belon gergasi itu akan dibenarkan terbang selama dua jam di ba­ngunan Parlimen Square Garden pada sebelah pagi ketika Trump tiba di London, Jumaat depan.

Aktivis, Leo Murray yang men­cetuskan idea melepaskan belon tersebut berkata, Trump pasti akan merasa benci melihat orang lain mempersendakannya.

“Jadi ketika dia melawat Uni­ted Kingdom (UK) pada hari Jumaat ini, kami ingin memastikan dia tahu bahawa semua rakyat Britain merendahkan dan mentertawakannya.

“Itulah sebabnya kumpulan kami berusaha dan berjaya mendapatkan wang secukupnya untuk menghasilkan belon gergasi enam meter yang dihasilkan sebuah syarikat profesional dan akan diterbangkan di ruang udara ba­ngunan Parlimen Square Garden semasa lawatan Trump,” katanya.

Sadiq dalam satu kenyataan berkata, beliau menyokong hak protes secara aman dan memahami bahawa rancangan itu boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Lebih 10,000 rakyat Britain telah menandatangani petisyen meminta belon tersebut diberi kebenaran untuk diterbangkan.