Christina Estrada, 59, menuntut 1 juta pound (RM5.8 juta) untuk membeli pakaian, 500,000 pound (RM3 juta) untuk lima buah kereta dan 26,000 pound (RM152,183) untuk bil telefon.

Mail Online melaporkan, bekas model kalendar Pirelli itu juga menuntut bekas suaminya, Dr. Walid Juffali, 61, membayar 68 juta pound (RM398 juta) untuk membeli rumah tujuh tingkat di London setelah dia keluar dari rumah kelamin mereka yang bernilai 22.5 juta pound (RM131.7 juta) yang terletak berhampiran Istana Windsor.

Wanita itu juga menuntut 4.4 juta pound (RM25.7 juta) untuk membeli sebuah rumah di kawasan luar bandar di Henley, 6.5 juta pound (RM38 juta) setahun untuk sara hidup, 1 juta pound (RM5.8 juta) untuk dana seni.

Menurut Walid yang kini menghidap kanser paru-paru tahap empat, bekas isterinya telah memiliki hartanah bernilai 12 juta pound (RM70.3 juta) di Beverly Hills, sebuah pangsapuri bernilai 3.5 juta pound (RM20 juta) dan barang kemas bernilai 7 juta pound (RM41 juta).

Estrada turut menuntut bekas suaminya memulangkan cincin berlian biru Chopard yang bernilai 10 juta pound (RM58.5 juta) kepadanya walaupun lelaki itu telah mengembalikannya.

Semasa pendengaran kes penceraian itu di mahkamah di sini baru-baru ini, perincian per­belanjaan wanita itu telah diedarkan yang menunjukkan Estrada berbelanja 2.1 juta pound (RM12 juta) untuk melancong dan 1 juta pound (RM5.8) untuk pakaian.

Walid sebelum ini telah menawarkan bayaran keseluruhan bernilai 32 juta pound (RM186 juta) termasuk bayaran sekali gus kira-kira 10 juta pound (RM58.5 juta) selain bayaran penyelenggaraan sebanyak 2 juta pound (RM11.7 juta) bagi tempoh lima tahun.

Menurut peguam, Justin Warshaw yang mewakili Walid, tuntutan Estrada itu melampau dan di luar kebiasaan sara hidup yang dinikmati semasa masih berkahwin dengan Walid.

Estrada mendakwa bekas suaminya itu mempunyai harta bernilai 6 bilion pound (RM35 bi­lion) namun Walid menegaskan dia hanya mempunyai aset peri­badi yang bernilai 19.5 juta pound (RM114.2 juta).

Jika wanita itu berjaya dalam tuntutan tersebut, ini akan mencatat sejarah sebagai salah satu kes penyelesaian cerai yang termahal di United Kingdom (UK).