Shaun Bridges, 35, turut di­ke­­nakan hukuman penjara tambahan dua tahun selepas didapati bersalah terhadap satu lagi kes mencuri mata wang digital ber­ke­naan.

Hakim Mahkamah San Francisco, Richard Seeborg menja­tuh­kan hukuman tersebut selepas Bridges mengaku bersalah pada Ogos lalu atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram, kes kedua yang dihadapi oleh bekas ejen itu.

Menurut laporan portal Channel News Asia, tertuduh yang ber­tugas di pejabat Perkhidma­tan Rahsia Baltimore dihukum penjara 71 bulan pada 2015 se­telah memasukkan AS$800,000 (RM3.3 juta) bitcoin semasa siasatan kes Silk Road.

Sebelum menjalani hukuman itu, tertuduh sekali lagi ditahan atas tuduhan baharu berhubung kes kecurian bitcoin yang ketika itu bernilai AS$359,000 (RM1.5 juta) tetapi kini mencecah AS$11.3 juta (RM48 juta), menurut laporan CoinDesk.

Silk Road telah beroperasi le­bih dua tahun sehinggalah ditutup pada Oktober 2013 dan telah menjana lebih AS$214 juta (RM902 juta) hasil jualan dadah dan barangan haram menggunakan bitcoin.

Pengendali Silk Road, Ross Ulbricht yang turut dikenali sebagai ‘Dread Pirate Robert’ dihukum penjara seumur hidup pada 2015 selepas pihak juri persekutuan di New York mendapati ter­tuduh bersalah atas pelbagai tuduhan termasuk mengagihkan dadah melalui internet.

Sejurus selepas itu Bridges pula ditahan pada Mac tahun sama, bersama-sama seorang lagi ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS yang dari cawangan Baltimore, Carl Force yang turut menyiasat kes Silk Road.

Force kemudian mengaku ber­salah terhadap tuduhan melakukan pemerasan, pengubahan wang haram dan menghalang keadilan kerana mencuri bitcoin semasa siasatan serta secara rahsia cuba mendapatkan baya­ran dari Ulbricht.

Dia dihukum penjara enam tahun setengah pada 2015.