Insiden itu dipercayai berpunca daripada sistem amaran yang tercetus apabila lelaki berkenaan tergesa-gesa hendak menaiki penerbangan tanpa menyedari dia telah menjadi punca kekecohan.

Sebahagian Terminal 2 di lapangan terbang tersebut ditutup berikutan insiden pada pukul 3.30 petang semalam (10.30 malam tadi waktu Malaysia) dan beratus-ratus orang diarah mengosongkannya. Kawasan berkenaan dibuka semula tiga jam kemudian.

Polis belum menemui atau mengenal pasti identiti lelaki itu menjelang malam tadi, tetapi berkata mereka masih berusaha.

Sebuah peralatan keselamatan di lapangan terbang memberi amaran kepada pegawai mengenai kemungkinan terdapatnya bahan letupan sewaktu beg lelaki yang mengandungi komputer bimbit itu diimbas.

Lelaki tersebut bergegas meninggalkan kaunter pemeriksaan dengan membawa beg komputer itu ke dalam terminal, kata polis.

Pegawai keselamatan sebenarnya mahu memeriksa beg lelaki itu sekali lagi.

"Pegawai beranggapan penumpang berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa, mengambil begnya lalu beredar dari situ," kata jurucakap polis persekutuan, Albert Poerschke.

Meskipun peralatan keselamatan mengeluarkan amaran mengenai beg tersebut, itu tidak bermakna terdapat bahan letupan di dalamnya dan amaran mungkin dicetuskan oleh sesuatu yang lain, kerana mesin itu sangat sensitif, menurut beliau.

Polis masih mahu menyoal lelaki tersebut mengenai tindakan tergesa-gesanya meninggalkan kaunter pemeriksaan, sungguhpun tidak semestinya dia telah melakukan kesalahan.

Pihak berkuasa lapangan terbang Munich berkata, lebih 100 penerbangan yang dijadual berlepas tergendala disebabkan insiden itu.

Lalu lintas udara dijangka pulih secara beransur-ansur. - AP