Mail Online melaporkan, sepasukan doktor dari Mercy Ships memerlukan masa selama 12 jam bagi membuang ketumbuhan di leher warga emas dikenali sebagai Sambany itu.

Doktor Mercy Ships menyifatkan, pembedahan membuang ketumbuhan seberat 7.46 kilogram itu sebagai paling lama dan mencabar pernah mereka lakukan sepanjang penubuhan organisasi tersebut 30 tahun lalu.

“Jangka waktu pembedahan meningkat sekali ganda berbanding pembedahan biasa. Ketumbuhan itu seolah-olah seperti batu kerana sangat berat,” kata doktor Mercy Ships.

Sementara itu, Sambany yang berasal dari kawasan pedalaman Madagascar berkata, dia berasa sangat gembira dengan pembedahan itu selepas sekian lama menderita kerana sering menjadi bahan jenaka dan mengalami kesukaran untuk melakukan pelbagai aktiviti harian.

“Tiada kata yang dapat diucapkan. Saya tahu saya akan mati tidak kira sama ada saya lakukan pembedahan atau tidak. Saya memilih untuk melakukan pembedahan. Syukur semuanya berjalan lancar.

“Ketumbuhan itu terlalu besar sehingga saya tidak lagi mampu menanggung bebannya. Selain itu, saya sering mengalami masalah jantung dan perkara itu menyebabkan saya nekad untuk menjalani pembedahan,” jelas Sambany.